SEBERANG PERAI – Sebelas individu termasuk lima wanita dipercayai sedang berpesta dadah di dalam sebuah kondominim yang disewa di Bukit Mertajam ditahan dalam satu serbuan tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah malam itu, kesemua individu yang ditahan berusia di antara 18 hingga 25 tahun.
“Pihak polis turut merampas 14 biji pil ekstasi dan 4.7 gram dadah disyaki ketamin,” ujarnya hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati keenam-enam lelaki yang ditahan itu positif dadah, manakala kesemua tangkapan wanita didapati negatif hasil ujian air kencing.
Shafee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesemua tangkapan turut dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan penuh. – K! ONLINE