fbpx

Jangan sia-siakan penat lelah mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF

SEJAK kes Covid-19 pertama dilaporkan di negara pada 25 Janua­ri tahun lalu membabitkan tiga pelancong China yang tiba di Johor melalui Singapura, petugas hadapan menjadi barisan pertama yang ‘mengorbankan diri’ untuk mempertahankan negara.

Sedarkah kita bahawa petugas hadapan ini menyerahkan nyawa dan keringat mereka tidak kira siang dan malam, hujan atau terik demi memastikan negara bebas dari penyakit Covid-19.

Namun, di sebalik pengorbanan itu, ada sesetengah individu yang tidak berfikiran matang apabila mempertikaikan tugas golongan ini sehingga ada yang sewenang-wenangnya melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ini tidak termasuk tindakan individu yang ‘kurang ajar’ apabila melakukan perkara tidak masuk akal seperti membaling mercun ke arah anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) Tol Gombak pada 13 dan 18 Mei lalu.

Tidak cukupkah kita melihat petugas ini yang terpaksa berjauhan dengan keluarga, melupakan niat menyambut perayaan bersama keluarga, berpenat lelah menyelamatkan nyawa dan mengawal SJR di bawah terik matahari.

Petugas hadapan juga mempunyai perasaan seperti kita, mereka mempunyai had dan masih kenal erti keletihan. Berapa banyak lagi bukti bergambar dan video yang harus ditunjukkan kepada rakyat di negara ini bahawa mereka bertungkus lumus menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua.

Kosmo! pada 21 Januari me­laporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengakui, ramai dalam kalangan petugas kesihatan dan barisan hadapan berdepan kelesuan mental dan fizikal sepanjang melawan Covid-19.

Menurutnya, ia adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh petugas di Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan yang lain.

“Inilah cabaran yang perlu dihadapi dan ia bukan mudah. Kita kena berperang melawan Co­vid-19 kerana tiada cara lain. Kita sudah berperang dengan Co­vid-19 untuk tempoh yang agak lama iaitu lebih setahun.

“Kita juga tidak nampak peng­hujung pertempuran melawan Covid-19 ini,” katanya.

Sudah tiba masanya untuk kita menghargai mereka dengan mematuhi SOP yang ditetapkan tidak kira anda berstatus VIP, selebriti, ‘influencer’ atau sebagainya. Mudahkan kerja mereka untuk keselamatan kita semua.

Golongan ‘kayangan’ ini seharusnya menggunakan ke­lebihan diri untuk membantu petugas hadapan menyebarkan kebaikan, meningkatkan kesedaran dan menunjukkan contoh yang baik.

Bukan dengan melanggar SOP dan menayangkan ‘kebijaksa­naan’ mereka berkongsi gambar bercuti atau mengambil kesempatan merentas negeri semata-mata untuk kepuasan sendiri.

Ramai individu yang terkesan dan terjejas teruk akibat Co­vid-19 terutamanya golongan berpendapatan rendah, bekerja sendiri, individu yang hilang pekerjaan selain yang tidak bernasib baik.

Mereka memerlukan masa, sokongan dan bantuan untuk bangun kembali. Walaupun bukan dengan wang ringgit, namun bantulah mereka dengan mematuhi SOP.

Terima kasih kepada petugas hadapan.

Jangan sia-siakan jasa kumpulan ini. Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa dan ingat ranting yang akan melen­ting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`