fbpx

Beruang matahari hilang arah selepas habitat dimusnahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang memaparkan seekor beruang matahari yang cedera sedang mencari tempat perlindungan baharu.

PETALING JAYA – Akibat kerakusan manusia merosakkan hutan dan alam sekitar, akhirnya binatang liar menjadi mangsa.

Itulah nasib yang dialami oleh seekor beruang matahari yang kelihatan hilang arah selepas tempat perlindungannya musnah akibat pembalakan.

Menerusi video yang dikongsi di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), kelihatan haiwan tersebut sedang mencari kawasan perlindungan dan apa yang menyedihkan kelihatan kaki haiwan tersebut cedera.

Menurut Animal Malaysia, klip video berdurasi 28 saat itu di rakam di sebuah hutan di Kuala Lipis, Pahang yang sedang mengalami pembalakan besar-besaran.

“Kawasan pembalakan ini bukan tujuan untuk pembangunan dan ditinggalkan botak begitu sahaja tanpa penanaman semula menyebabkan banyak haiwan liar kelihatan berkeliaran tanpa arah tujuan.

“Pembukaan hutan dan pembalakan bukan sahaja memusnahkan habitat haiwan liar tetapi bakal mengundang musibah kepada manusia seperti banjir besar, kesan rumah hijau, pengurangan oksigen, pemanasan global dan pelbagai masalah lagi,” katanya di laman Facebook semalam.

Mengulas lanjut, Animal Malaysia berkata, aktiviti itu perlu dihentikan segera dan negara perlu berubah demi menjaga hutan dan alam sekitar.

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata marah serta sedih melihat kerakusan manusia sehingga haiwan tidak bersalah menjadi mangsa.

“Sedih, lihat habitatnya habis musnah sebab kerakusan setengah manusia yang tamak.

“Masa depan ‘khazanah’ negara untuk generasi akan datang mungkin tinggal sejengkal atau pupus,” tulis Mohd. Muszakar Othman di ruang komen.

Turut berkongsi perasaan sama adalah seorang lagi netizen yang dikenali sebagai Afiq Cinales.

“Kenapa manusia ni jahat dan tamak sebegini rupa, hampir setiap hari kerosakan demi kerosakan dilakukan.

“Lepas ni gajah harimau dan segala haiwan liar akan menceroboh kampung mencari makanan, lepas tu dibunuh penduduk setempat.

“Begitu sedih dengan nasib makhluk lain di atas muka bumi ni akibat perbuatan manusia,” ujarnya.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, klip video berkenaan ditonton lebih 9,700 kali dan dikongsi kira-kira 324 netizen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI