fbpx
STADIUM Allianz Arena diterangi dengan warna pelangi pada 30 Jun 2021. - AFP

UEFA tolak terangi Allianz Arena dengan warna pelangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH – Permintaan untuk menyinari stadium Allianz Arena dengan warna pelangi pada  perlawanan terakhir Jerman di peringkat kumpulan Euro 2020 menentang Hungary telah ditolak UEFA, lapor saluran berita Sky News hari ini.

Datuk Bandar Munich, Dieter Reiter berkata, beliau mahu menyinari stadium bandar raya itu dengan warna pelangi sebagai membantah undang-undang baharu di Hungary.

Undang-undang tersebut melarang bahan pendidikan sekolah bertema  gay dan menyekat golongan itu daripada menghadiri program untuk remaja bawah  18 tahun.

UEFA bagaimanapun  menolak permintaan Reiter kerana percaya ia bermotifkan politik.

Badan pengendali bola sepak Eropah itu sebaliknya mencadangkan tarikh alternatif untuk stadium itu diterangi dengan warna pelangi.

UEFA mencadangkan tarikh 28 Jun ini untuk berbuat demikian sempena sambutan hari peringatan gay di kota raya Munich. 

“Amalan rasis, kebencian terhadap golongan homoseks dan semua bentuk diskriminasi adalah kotoran dalam masyarakat kita. Ia adalah masalah terbesar yang dihadapi sukan bola sepak hari ini.

“Bagaimanapun, UEFA adalah sebuah organisasi bersifat neutral sama ada membabitkan politik atau agama. Oleh kerana permintaan khusus ini mempunyai konteks politik iaitu menghantar mesej jelas kepada Parlimen Hungary, UEFA perlu menolaknya,” kata badan bola sepak itu dalam satu kenyataan. – Agensi