LONDON – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima tamparan hebat selepas 55 ahli gabungan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sepakat untuk memboikot semua kejohanan kendalian FIFA jika meneruskan rancangan menjual hak Piala Dunia kepada pelabur swasta.
Berdasarkan laporan, Presiden FIFA, Gianni Infantino sudah mendapat tawaran untuk menjual hak komersial Piala Dunia dalam usaha meningkatkan pendapatan FIFA dan memberi pulangan lebih besar kepada 211 ahli badan induk bola sepak dunia itu.
Menerusi kenyataan rasmi UEFA awal pagi tadi, badan bola sepak Eropah menegaskan kesemua persatuan bola sepak Eropah ‘sebulat suara’ dan tanpa kompromi menolak cadangan berkenaan selepas mengadakan mesyuarat tergempar yang berlangsung hampir dua jam.
UEFA berkata, tiada pasukan kebangsaan Eropah akan menyertai mana-mana pertandingan FIFA selagi cadangan berkenaan masih diteruskan dan tidak ditarik balik sepenuhnya.
“Tiada pasukan kebangsaan dari Eropah akan mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan FIFA selagi cadangan ini masih wujud, kecuali cadangan tersebut ditarik balik sepenuhnya.
“Selain itu, pihak kami juga mahu jaminan bahawa FIFA tidak akan lagi membuka urus tadbir atau hak pertandingan kepada pemilikan swasta,” menurut kenyataan itu.
UEFA dijangka menghantar surat rasmi kepada FIFA minggu ini bagi memaklumkan pendirian mereka, sekali gus memberi tekanan hebat kepada Infantino untuk mengubah atau membatalkan terus cadangan tersebut. – AGENSI














