MENJADI seorang individu yang berpengaruh dan dikenali ramai bukanlah sesuatu yang mudah pada masa kini.
Setiap ucapan kata yang keluar dari bibir atau susunan aksara yang dibentuk menjadi ayat lalu dimuat naik ke media sosial akan sentiasa menjadi perhatian ramai orang.
Jika perkataan yang dilontarkan itu tidak dapat diterima oleh sesetengah masyarakat, ia mungkin menjadi isu yang akan diperdebatkan.
Pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad juga tidak terlepas untuk berhadapan dengan situasi tersebut.
Kontroversi petikan ‘wanita kena jadi bodoh-bodoh sikit’ yang dikatakan olehnya dalam klip video telah mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak.
Menyedari ada pihak yang tidak boleh menerima perkataan tersebut, beliau yang lebih mesra menyebut dirinya sebagai Bonda, lantas mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan berterima kasih kepada semua yang mengambil berat akan isu tersebut.
“Mungkin perkataan yang Bonda cakap itu jarang digunakan dan diucap secara santai bagi menjawab soalan yang dikemukakan tentang wanita dan sebagainya telah menyebabkan berlakunya salah faham.
“Bonda orang Terengganu, apabila bercakap secara santai, kita bercakap bahasa yang biasa digunakan. Perkataan itu tidak membawa konotasi negatif di Pantai Timur. Bonda faham, kalau boleh guna perkataan yang lebih baik, Bonda boleh sebut perkataan tawadduk dan merendah hati. Sifat rendah diri dimiliki baginda Nabi Muhammad SAW itulah yang memikat hati semua orang. Kita tak payah tunjuk pandai sebab selalunya orang yang benar-benar pandai tidak perlu tunjuk pandai,” jelasnya.

Akibat kontroversi perkataan tersebut juga, Muhaya tidak terlepas menerima kecaman netizen di media sosial.
Tutur Muhaya, sesiapa yang menerima kecaman pasti akan berasa terkejut.
“Reaksi spontan Bonda pada ketika itu merasakan mungkin ada salah faham yang berlaku. Tetapi Bonda tidak mengikuti sangat kecaman tersebut.
“Pada situasi ini, Bonda mengambil konsep memahami, menghormati dan memaafkan mereka yang bercakap itu. Bonda rasa manusia ini ada konteks fikiran, cara melihat dan mentafsir masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menegaskan semua yang berlaku itu ada hikmahnya.
Tentu sekali apa yang berlaku dalam hidup kita ada maklum balasnya dan beliau sendiri belajar sesuatu daripada kejadian itu dan menerima teguran daripada masyarakat.
Dengan izin Allah, Muhaya menjadikan hal itu sebagai satu iktibar dan selepas ini beliau akan lebih berhati-hati dengan perkataan dan memahami siapa yang mendengar dan apa yang beliau ucapkan.
Dalam pada itu, Muhaya menegaskan, beliau tidak pernah menyatakan bahawa dirinya pakar motivasi, sebaliknya pakar mata kerana dirinya melalui disiplin ilmu sebagai pakar mata.
“Orang yang letak Bonda sebagai pakar motivasi tetapi Bonda sebenarnya hendak jadi pencetus inspirasi. Bonda guna perkataan inspirasi sebab motivasi ini lebih kepada menaikkan semangat.
“Bonda lebih suka mencetuskan inspirasi. Inspirasi pada Bonda ialah kita menjentik minda dan membangunkan jiwa untuk lihat ke dalam diri bagi melakukan perubahan,” terangnya.
Minat mendalam untuk mencetuskan inspirasi juga telah membawa beliau ke dalam dunia motivasi dan dakwah.

Muhaya menjelaskan, sejak zaman persekolahan lagi, beliau suka memberi inspirasi dan kata-kata semangat kepada rakan-rakannya.
“Dengan izin Allah, ketika zaman persekolahan, Bonda dilantik menjadi ketua pengawas dan pada bulan puasa ketika sedang menanti solat tarawih, Bonda akan berdiri dan memberikan sedikit kata-kata semangat umpama dakwah kepada rakan-rakan.
“Perkara ini juga Bonda teruskan apabila berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti,” ujarnya.
Sehingga kini, Muhaya meneruskan perkara yang digemarinya itu dan sejak tahun 2007, beliau telah dijemput menyampaikan ceramah di organisasi kerajaan dan swasta.
Bagi menyebarluaskan usahanya memberi inspirasi mengubah minda masyarakat, beliau juga menerbitkan beberapa rancangan bual bicara sendiri, iaitu Dari Mata Ke Hati, Reset Minda, Celik Hati dan lain-lain lagi.
“Sebenarnya menjadi pakar motivasi ini bukanlah cita-cita bonda. Bonda nampak ia sebagai satu misi kehidupan dengan tujuan menjadi hamba Allah yang bermanfaat dan mengajak orang kepada kebaikan serta berkongsi pengalaman yang Bonda ada,” jelas Muhaya.
Dengan komitmen beliau yang serius dalam memberi inspirasi, motivasi dan dakwah, Muhaya telah diiktiraf dan dianugerahkan Tokoh Ilmuwan Selangor, Felo Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Anugerah Dakwah Wanita Negara, Pingat Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Anugerah Srikandi Negara dan Anugerah Motivator NONA.
Dalam masa yang sama, Muhaya juga aktif dalam bidang penulisan dan telah menulis 25 buku antara yang terlaris ialah Celik Mata dan Jiwa, Mata Akal Mata Hati, Tempat Kerja Saya Ladang Pahala Saya dan How To Become a Good & Successful Medical Student serta menerbitkan lebih lima buah buku digital antaranya Formula Rahsia Bebas Stress dan Raya Jiwa.
Sementara itu, Muhaya yang dilahirkan pada 1 Disember 1958 di Kampung Ladang, Terengganu merupakan seorang pakar mata yang telah berjasa kepada ramai orang.
Selepas menamatkan pendidikan sekolah rendah di Terengganu, beliau telah melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru sehingga tingkatan enam.
Muhaya kemudiannya ditawarkan pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1980 hingga 1985.
Semasa di UKM, beliau merupakan pelajar wanita pertama dipilih sebagai penerima Anugerah Toh Puan Rahah kerana kecemerlangan dari segi sahsiah dan akademik.
Pada tahun 1991, beliau mendapat Sarjana Surgeri Oftalmologi di UKM dan diiktiraf sebagai pakar mata. Beliau merupakan graduan pertama UKM yang menjadi pakar mata.
Pada tahun tersebut juga, beliau telah menjadi wanita Islam Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) Edinburgh, United Kingdom.

Selanjutnya dari tahun 1994 hingga 1998, beliau menjalani fellowship dalam bidang uveitis di Moorfields Eye Hospital, United Kingdom dan menjadi doktor wanita Malaysia pertama membuat pengkhususan dalam bidang tersebut.
“Bermacam-macam cabaran yang Bonda hadapi ketika berada di sana. Ini kerana Bonda bertudung tetapi Bonda tetap tutup aurat dan bertugas macam biasa walaupun pada awalnya tidak diterima,” kata Muhaya.
Selain itu, beliau juga berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 1999 dalam bidang Ocular Immunology dari Universiti of London.
Sekembalinya ke Malaysia, Muhaya berkhidmat di Pusat Perubatan UKM sehingga tahun 2008 dan pernah menjadi Ketua Jabatan Oftalmologi pada tahun 1999 sehingga 2003.
Beliau juga pernah dipinjamkan ke Pusat Perubatan Prince Court dan berkhidmat sehingga tahun 2014.
Setelah menjadi pakar mata selama hampir 23 tahun, Muhaya mengambil keputusan melebarkan kerjaya dengan menubuhkan Pusat Mata dan Lasik Prof Muhaya (PMELC) dan kini dikenali sebagai IKONIK Eye Specialist yang beroperasi di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sejak Januari 2021.
Beliau juga merupakan pakar mata pertama di Malaysia yang melakukan pembedahan laser bladeless lasik pada tahun 2008.
Muhaya juga telah melakukan pembedahan tanpa flap pada lebih 7,500 mata sejak 2014.
Misi wanita penuh inspirasi ini sangat jelas iaitu membantu masyarakat menjadi pencinta tanpa syarat kerana modal utama hidup ini ialah hati yang bersih dan bahan asasnya adalah kasih sayang tanpa syarat.














