fbpx

Wanita rugi RM74,000 ditipu Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BALIK PULAU – Seorang ahli perniagaan wanita berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM74,000 lesap dipercayai akibat ditipu sindiket Love Scam semalam.

Wanita berusia 47 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang individu kononnya lelaki dari Amerika Syarikat melalui laman sosial Facebook pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, selepas hubungan mereka semakin rapat, lelaki itu baru-baru ini memberitahu mangsa bahawa dia mengalami masalah kewangan berhubung projek cari gali di Itali.

Menurutnya, teman lelaki maya tersebut memaklumkan kepada mangsa dia memerlukan bantuan wang bagi tujuan pembaikan tapak projek berkenaan.

“Walaupun baru kira-kira sebulan berkenalan, mangsa percaya suspek benar-benar memerlukan wang tersebut.

“Wanita itu telah memindahkan sebanyak RM74,000 melalui tujuh transaksi ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kamarul Rizal berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas rakannya yang dimaklumkan berhubung perkara itu apabila semakan gambar di Facebook yang digunakan suspek didapati mempunyai beberapa akaun palsu.

Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI