fbpx

Harga tomato, susu pekat manis mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA restoran dan kedai makanan di Pulau Pinang mula merasai tekanan ekoran berlakunya kenaikan harga bagi bahan mentah. – GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Peniaga restoran dan kedai makan di negeri ini semakin tersepit apabila mereka mendakwa berlaku kenaikan ke atas barang-barang mentah sehingga memberi kesan kepada pendapatan harian.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Moha­med Rizwan Abdul Ghafoor Khan yang mengakui telah menerima aduan daripada para peniaga yang merungut mengenai ke­naikan harga barang mentah sejak kebelakangan ini.

Katanya, kenaikan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang kini memasuki minggu ketiga.

“Kenaikan tidak hanya me­rangkumi barang basah seperti sayur, malah bahan mentah lain seperti minyak masak dan bahan-bahan masakan juga naik mendadak.

“Saya dapati harga tomato hari ini (semalam) adalah RM6 sekilogram, berbanding RM2.40 sekilogram sebelum ini.

“Susu pekat manis pula mengalami kenaikan sehingga RM10 bagi setiap satu karton, manakala sirap coklat untuk minuman kini berharga RM38 sebotol berban­ding sebelum ini RM30,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, situasi itu memberi tekanan kepada peniaga makanan kerana pelanggan semakin berkurangan dan mereka pula terpaksa menanggung pelbagai kos serta perlu membayar penuh sewa premis.

“Peniaga juga tidak berhasrat menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual bagi mengelak pelanggan menjadi terbeban,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, kerajaan diminta mencari satu jalan penyelesaian bagi membantu para peniaga makanan dan minuman termasuk melaksanakan subsidi bahan mentah kepada kumpulan ini.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan dikenali Sufian turut mengakui, berlaku kenaikan harga bagi bahan-bahan mentah yang mereka gunakan setiap hari.

Katanya, situasi ini menyebabkan pendapatan peniaga merosot, selain berdepan kekangan untuk mencari pelanggan.

“Biasanya kami mampu meraih sehingga RM2 bagi setiap makanan, tetapi dengan kenaikan harga bahan mentah ketika ini, untung kami adalah di bawah RM1 untuk setiap jualan.

“Kami tiada pilihan lain asalkan masih memperoleh pendapatan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI