fbpx

Kes saman fitnah Eizlan Yusof, Hans Isaac dicadang rujuk mediasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eizlan Yusof

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mencadangkan kes saman fitnah pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof terhadap bekas Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac dirujuk ke Pusat Mediasi untuk penyelesaian.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Eizlan ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pada prosiding pengurusan kes hari ini, Hakim Datuk Azimah Omar mencadangkan agar kedua-dua pihak merujuk kes saman itu ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di sini, atau apa-apa cara penyelesaian sekiranya sesuai dan dipersetujui oleh mereka.

“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 12 Ogos ini secara dalam talian (Zoom) untuk kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 50, selaku plaintif memfailkan tuntutan saman itu pada 8 Februari lalu dengan menamakan Hans Isaac atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 50 sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Eizlan mendakwa kenyataan fitnah Hans Isaac membawa maksud antaranya, plaintif memegang jawatan ahli lembaga pengarah Finas dengan mengambil kesempatan atau menyalahi undang-undang bagi mendapatkan bantuan dana untuk syarikat Excellent Pictures, sedangkan plaintif tiada kena mengena dengan syarikat terbabit dalam apa jua kapasiti.

Eizlan mendakwa kata-kata fitnah itu juga membawa maksud beliau telah melakukan jenayah atau berkonspirasi melakukan jenayah di bawah undang-undang Malaysia, tidak jujur, tidak berintegriti dan pembohong untuk mendapatkan dana daripada kerajaan.

Plaintif berkata kenyataan defendan itu adalah dusta dan tidak benar kerana semasa dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Finas, beliau tiada kena mengena dengan syarikat Excellent Pictures, bukan pengarah, bukan pemegang saham, bukan contributory dan bukan seorang yang berkait (associated) dengan syarikat berkenaan.

Eizlan turut mendakwa pada 16 November 2020, defendan telah mengungkap, menghebah, menerbit, mengeluar dan menyiarkan kata-kata fitnah itu di satu kumpulan Whatsapp (group Whatsapp) bernama “Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM)” yang mana terdapat 200 ahli dalam kumpulan itu terdiri daripada penggiat industri seni termasuk Eizlan dan Hans Isaac.

Kenyataan fitnah dalam kumpulan Whatsapp itu kemudiannya tersebar ke media sosial lain memandangkan beliau adalah tokoh artis profesional negara menyebabkannya kehilangan maruah, dihina dan dijauhi masyarakat umum.

Justeru, plaintif beliau menuntut antaranya ganti rugi am untuk ditaksir tidak kurang daripada RM2 juta atau sejumlah ganti rugi lain yang ditaksir dan difikirkan munasabah oleh mahkamah, ganti rugi teruk (aggravated) dan ganti rugi teladan (exemplary). – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI