fbpx

Najib tetap perlu bayar cukai pendapatan RM1.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini gagal menghalang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada melaksanakan penghakiman terus Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar tunggakan cukai pendapatan melebihi RM1.7 bilion.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan beliau untuk menangguhkan penghakiman terus itu sementara rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan, Rabu ini.

Bekas Perdana Menteri selaku defendan turut diperintah membayar kos RM15,000.

Selepas lapan bulan penghakiman terus dikeluarkan pada 22 Julai tahun lalu sehingga notis kebankrapan difailkan pada 4 Februari lalu, beliau belum membayar apa-apa tunggakan sebaliknya memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu.

Dalam keputusannya yang disampaikan melalui emel, Hakim Ahmad menyatakan, Najib boleh mengadakan rundingan dengan LHDN (plaintif) untuk menjelaskan tunggakan cukai secara ansuran sementara menunggu satu lagi rayuannya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dilupuskan.

Penghakiman bertulis setebal 25 muka surat itu menyatakan, kegagalan menangguhkan pelaksanaan penghakiman terus bukan satu kehilangan kepada Najib kerana beliau masih boleh berunding dengan LHDN untuk membuat beberapa pembayaran sementara menunggu rayuannya dilupuskan.

Ini kerana, Peguam Kanan Hasil telah membayangkan kepada mahkamah bahawa beliau telah membuat pertemuan dengan pegawai-pegawai LHDN untuk perbincangan, namun hingga kini tiada usaha dibuat untuk menjelaskan sebarang pembayaran dalam bentuk ansuran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI