fbpx
KEMOYANG yang ditanam di halaman rumah Hadillah di Kampung Tanjung Putat, Terengganu sejak 30 tahun lalu kini sudah membiak menjadi 300 pokok. – NOOR HAYATI MAMAT

Hasil tiga dekad membiak kemoyang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK ramai terutama generasi muda mengenali pokok kemoyang atau nama saintifiknya, Homalomena sagittifolia yang merupakan salah satu spesies keladi. Berbeza dengan spesies-spesies keladi lain, batang kemoyang tidak menyebabkan kegatalan yang lazim dikaitkan dengan keladi sehingga terbit peribahasa miang-miang keladi, selain kemoyang memiliki ubi yang berbau wangi.

Tumbuh meliar di kawasan hutan belukar dan lembah, masyarakat Melayu dahulu memanfaatkan kemoyang bukan sahaja sebagai ramuan masakan, malah sumber perubatan tradisional.

Begitupun seiring dengan peredaran zaman, pokok atau tumbuhan kemoyang semakin pupus berikutan banyak habitatnya di daerah Hulu Terengganu, Terengganu dibangunkan sebagai kawasan perumahan sejak awal tahun 1990-an.

Hadillah Salleh, 60, yang menyedari keistimewaan kemoyang telah mengambil inisiatif untuk membiakkan tumbuhan itu di halaman rumahnya sejak 30 tahun lalu.

Walaupun pada mulanya usaha lelaki itu dipandang pelik oleh masyarakat setempat, kerja kerasnya kini mula membuahkan hasil apabila lebih 300 pokok kemoyang hidup subur di kawasan rumahnya.

BERBEZA dengan spesies keladi yang lain, batang kemoyang tidak menyebabkan miang.

Rimbunan tumbuhan itu menyebabkan rumah Hadillah menjadi tumpuan ramai sama ada untuk membeli atau belajar mengenali tumbuhan itu dengan lebih dekat.

“Pada waktu itu, saya bimbang pokok kemoyang yang mempunyai banyak manfaat dan kegunaan ini akan pupus begitu sahaja.

“Bermula dengan dua anak pokok diambil dari kebun ibu mertua di Kampung Tok Bintang, Hulu Terengganu, tumbuhan ini kemudiannya subur membiak.

“Impaknya mula menampakkan hasil kini selepas 30 tahun. Lebih 300 pokok kemoyang subur menghiasi halaman rumah saya hingga secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai,” katanya ketika ditemui Panorama di Kampung Tanjung Putat, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Hadillah memberitahu, pokok kemoyang seperti juga spesies-spesies keladi lain yang biasanya lebih mudah hidup di kawasan yang lembap seperti halaman rumahnya.

Ujar datuk kepada dua cucu itu, secara kasar, daun pokok kemoyang menyerupai pokok keladi biasa tetapi mengeluarkan bunga berbentuk tirus berwarna merah yang tersembunyi di celah-celah rumpunnya.

KEMOYANG dibiakkan menerusi bahagian rizomnya.

Berkongsi cara penjagaan, Hadillah memberitahu, pada peringkat awal penanaman, benih pokok kemoyang daripada bahagian rizom perlu disemai di lokasi yang terlindung daripada pancaran cahaya matahari secara langsung.

Tambahnya, benih pokok kemoyang tidak tahan panas dan pancaran matahari secara terus akan meningkatkan risiko mati atau sekurang-kurangnya membantut tumbesarannya.

“Kita perlu memindahkan dari tapak semaian ke kawasan sesuai apabila anak benih itu mula bertunas dan membesar kira-kira lima sentimeter,” ujarnya.

Hadillah berkata, secara umumnya pokok kemoyang tidak mempunyai banyak musuh tanaman dalam kalangan serangga perosak dan lain-lain, namun tidak bermakna penjagaannya mudah.

Terangnya lagi, pokok kemoyang amat sensitif dengan racun perosak yang akan menyebabkan tumbuhan ini mudah mati.

Dalam pada itu, Hadillah kini boleh mengukir senyuman kerana kerja kerasnya menanam pokok kemoyang bukan sahaja semakin dihargai, malah telah memberi pendapatan sampingan kepadanya.

USAHA Hadillah membiakkan pokok kemoyang patut diberikan pujian kerana dapat mengelak kepupusan.

Kongsinya, tanaman kemoyangnya bukan sahaja dibeli pelanggan untuk dijadikan pokok hiasan, malah sebagai tujuan perubatan tradisional dan bahan masakan.

“Orang zaman dahulu menggunakan daun kemoyang untuk membalut batu tungku bagi ibu bersalin.

“Air rebusan daunnya juga diyakini boleh membantu golongan wanita selepas bersalin.

“Daun pokok itu juga mengeluarkan bau aromaterapi yang menenangkan jiwa selain boleh dilumat bagi melegakan senak perut,” katanya.

Hadillah menambah, pucuk kemoyang pula digunakan masyarakat tradisional untuk membersihkan badan daripada anasir asing seperti kutu dan tungau.

Tambahnya, isi keladi kemoyang pula direbus bagi melegakan masalah kesihatan tertentu.

“Selain digunakan dalam perubatan tradisional, batang, pucuk dan daun kemoyang juga sedap dimakan.

“Tumbuhan ini biasa digunakan untuk masak sayur air, kerabu, masak lemak dan asam pedas.

“Batang, pucuk dan daun kemoyang juga enak dijadikan ramuan dalam penyajian nasi ulam,” ujarnya.

Kongsi Hadillah, dia seperti masyarakat Pantai Timur yang lain menggemari masak sayur pedas yang menggunakan batang kemoyang sebagai bahan utama.

Jelasnya, cara memasak sayur pedas ialah batang kemoyang yang telah dibersihkan direneh bersama udang kering, lada hitam, bawang putih, daun kesum dan budu.

“Kalau memakannya memang berpeluh dan orang cakap, mak mertua lalu di belakang pun kita tidak sedar sebab menikmati kelazatannya,” ujarnya sambil ketawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN