fbpx

Didakwa cabul, lakukan hubungan luar tabii terhadap dua lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Mohd. Khairul Azuar (tengah) didakwa mencabul dan sengaja melakukan hubungan luar tabii terhadap dua orang lelaki di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang peniaga kelapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul dan dengan sengaja melakukan hubungan luar tabii terhadap dua orang lelaki pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairul Azuar Muhammad, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pondok di Tanah Perkuburan Nibong, Kampung Padang Kala dekat Melor di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada 16 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii terhadap seorang lelaki yang berusia 20 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di kawasan hutan Jalan Permatang Sungkai, Pasir Puteh kira-kira pukul 8 pagi pada 20 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd. Faizuan tidak mencadangkan sebarang jaminan ditetapkan selepas tertuduh melakukan dua kesalahan serius sekali gus demi menjaga kepentingan mangsa dan masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya mengaku bahawa dia merupakan pesakit mental dan memohon untuk mendapatkan rawatan khas di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak dengan segera.

“Saya pernah dirawat sebagai pesakit mental di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seremban. Sekiranya dibenarkan, saya mahu menjalani rawatan dengan segera,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd. Faizuan memohon agar pihak polis melengkapkan laporan perubatan penuh dan psikiatri sebelum tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI