fbpx

Tinggalkan Warner Music, Lizzy bukan lupa daratan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUAT pengumuman tidak lagi bernaung bawah Warner Music, Elizabeth Tan atau Lizzy kini sedang memperhalusi beberapa hal berkaitan undang-undang.

PETALING JAYA – Penyanyi Elizabeth Tan tidak menganggap keputusan meninggalkan Warner Music sebagai tindakan lupa daratan memandangkan namanya mula dikenali menerusi YouTube terlebih dahulu sebelum menyertai label berkenaan.

Kata penyanyi yang mesra dibahasakan Lizzy itu, selama tiga bersama Warner, syarikat rakaman berkenaan sudah banyak membantu perkembangan kerjaya nyanyiannya, selain komposer terkenal, Faizal Tahir yang menghasilkan lagu popular pertamanya.

“Saya tidak perlu risau jika timbul cakap belakang, lupa diri atau sebagainya kerana sepanjang tempoh bersama mereka saya sudah memenuhi klausa perjanjian dalam kontrak yang berakhir Februari lalu termasuk merakamkan 10 buah lagu.

“Saya terpaksa mengambil langkah ini demi peningkatan kerjaya seni selain melihat prospek terhadap peluang perniagaan yang lebih luas, sedangkan Warner Music hanya tertumpu terhadap cabang nyanyian.

“Saya tak risau pun kalau dikata lupa diri sebab tak rasa Warner Music sahaja yang cipta nama saya. Saya usaha sendiri menerusi perkongsian video dalam YouTube dan syarikat rakaman ini cuma membantu untuk saya terus berkembang.

“Apa pun saya banyak terhutang budi kepada komposer Faizal Tahir yang melonjakkan bakat saya di mata peminat muzik dengan lagu ciptaan pertamanya untuk saya berjudul Knock Knock, disusuli beberapa dendangan lain.

“Lagi pun perkara ini sudah saya pertimbangkan dengan teliti sejak tahun lepas lagi selepas banyak peluang bisnes hadir tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan masih ada kontrak,” katanya menerusi satu sesi sidang media khas bersama media hari ini.

Terdahulu, ura-ura penyanyi dan pelakon itu tidak menyambung kontrak bersama syarikat rakaman terbabit mula diperkatakan apatah lagi selepas ramai melihatnya semakin aktif dalam arena lakonan

Ditanya kenapa hanya selepas hampir empat bulan ‘berpisah’ baharu Elizabeth atau Lizzy mengumumkan perkara tersebut, akuinya terdapat beberapa isu perlu diperhalusi termasuk hal berkaitan perundangan.

“Sebenarnya ada isu antara kami tetapi kalau boleh saya mahu selesaikannya secara baik. Mereka pun tahu saya sudah penuhi klausa dalam kontrak. Inilah peluang saya untuk terus maju dalam bidang lain.

“Sekarang proses rundingan masih berjalan tetapi peguam saya sudah menghantar notis kepada Warner sejak dua bulan lepas. Saya tak tahu mereka sudah terima atau tidak, tetapi jika masih tidak berjawab maknanya saya sudah dilepaskan.

“Dalam tempoh ini, selain lakonan, saya juga merealisasikan bisnes pakaian kasual bawah jenama Izzi. Dari situ saya banyak belajar soal perniagaan. Semua ini saya adalah keputusan yang saya buat sendiri, bukan dipengaruhi suami atau sesiapa,” ulasnya lagi.

Sementara itu, mengenai perkahwinan secara tertutup bersama Dr Ding Siew Jing, 30, pada Mac lalu, dedah Lizzy semua perincian mengenai majlis kecil itu sudah dimaklumkan kepada syarikat rakamannya sejak tahun lepas lagi.

“Tiada apa yang saya rahsiakan daripada syarikat, mereka tahu. Apa pun buat masa ini sebarang urusan, tawaran atau temu janji akan diuruskan ibu saya,” katanya.

Berhubung pendedahannya tidak tinggal serumah dengan suami, Lizzy menegaskan mereka sudah sepakat dan selesa menjalani kehidupan sedemikian memandangkan suaminya juga bakal sibuk dengan tanggungjawab di hospital sehingga akhir tahun nanti.

“Apabila kita kahwin kita perlu ada ruang untuk diri sendiri. Kami tak percaya orang yang sudah berumahtangga perlu buat semua perkara bersama-sama. Nantui masa mati pun kita seorang saja,” tambah pelakon Gerak Khas edisi terbaharu itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI