fbpx

Maqis rampas 474 kg hasil pertanian Thailand tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian hasil pertanian dari Thailand yang dirampas di ICQS Rantau Panjang kelmarin. - FOTO : IHSAN MAQIS KELANTAN

RANTAU PANJANG – Pelbagai jenis hasil pertanian dan buah-buahan dari Thailand seberat 474 kilogram (kg) yang dibawa dengan lori dirampas ketika melalui di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini kelmarin.

Rampasan bernilai RM3,192 itu dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan selepas pemandu lori itu gagal mengemukakan permit import yang sah ketika pemeriksaan.

Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya mendapati lori itu membawa buah durian sebanyak 90 kg, limau madu (240 kg) dan jambu madu (144 kg).

Menurutnya, Maqis turut merampas sebanyak 209 pelbagai jenis biji benih sayur dan buah-buahan lain yang dianggarkan bernilai RM725.

“Perbuatan mengimport hasil pertanian tanpa permit import yang sah dari Maqis merupakan suatu kesalahan.

“Langkah itu bagi memastikan semua barangan yang diimport tersebut bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Roslan, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Dalam perkembangan lain, Roslan berkata, pihaknya turut menerima dua serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melibatkan 960 kg keratan ayam sejuk beku dan 475 paket pelbagai jenis sosej.

Katanya, rampasan bernilai RM22,955 itu dilakukan oleh PGA menerusi tugasan yang dijalankan di kawasan sempadan di negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI