fbpx

Kepentingan agama, bangsa dekat pada Allahyarham Harussani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Zamri Hashim

IPOH – Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mendedahkan, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria sering menitiskan air mata memikirkan nasib agama dan bangsanya sepanjang perjuangan dakwahnya.

Zamri berkata, semoga titisan air mata Allahyarham Mufti Perak itu akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk diteruskan.

Zamri yang berkhidmat 24 tahun bersama Allahyarham dilihat tidak dapat menahan sebak ketika membacakan khutbah Jumaat bertajuk, Ulama Pembimbing Ummah yang menyentuh keperibadian Allahyarham di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.

Menurut Zamri, dalam tempoh 82 tahun usia Allahyarham, selama 36 tahun telah diabadikan untuk menjunjung amanah berkhidmat sebagai Mufti Perak.

“Allahyarham menyempurnakan tanggungjawab tanpa mengenal jerih atau perih, jemu atau bosan, gigih dan tekun berusaha mentarbiahkan ummah dan menyebarkan syiar Islam.

“Semasa menjunjung amanah, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani telah menyempurnakan tanggungjawab secara tegas lagi berani, teguh berpegang kepada prinsip yang berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah, serta logik qias yang bernas,” katanya.

Tambahnya, agama Islam, institusi raja Melayu, orang Melayu, kedudukan dan pencapaian ummah dari sudut pendidikan dan ilmu, taraf sosial dan kemajuan ekonomi, perpaduan dan penguasaan politik, merupakan mauduk-mauduk yang sangat dekat di hati Mufti Perak sepanjang hayatnya.

“Tan Sri Harussani sentiasa menyuarakan peringatan akan pentingnya peranan Raja Pemerintah sebagai payung Agama Islam dan benteng pertahanan adat Melayu.

“Oleh itu, para ulama dan para wazir wajib menyembahkan sebaik nasihat kepada Raja Pemerintah agar institusi tersebut, dijamin kedaulatannya, dan tidak dicemari atau dipersendakan,” katanya.

Bagaimanapun Zamri berkata, tidak ada yang kekal di dunia ini namun khidmat dan bakti Allahyarham Mufti Perak kepada negeri dan ummah kini tinggal dalam kenangan.

“Pemergian Tan Sri Harussani menyahut seruan Ilahi merupakan kehilangan yang sangat berharga kepada negeri dan ummah dan Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap kejadian.

“Mungkin telah sampai waktunya, insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi Rabnya, meninggalkan amanat dan tanggungjawab untuk diteruskan oleh kita yang masih dikurniakan usia di dunia ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI