fbpx

Jangan mudah tertipu iklan haji, umrah 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tindakan segelintir agensi pelancongan yang cuba menipu orang ramai di sebalik iklan pakej haji, umrah dan badal haji untuk tahun 2021 dalam keadaan negara masih berhadapan pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, berdasarkan kepada senario penularan virus Covid-19 yang masih berleluasa dan sekatan perjalanan yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan, penawaran pakej-pakej sebegini adalah amat meragukan.

“Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Jun dan siaran akhbar Tabung Haji pada 4 Jun lalu, sehingga kini status pelaksanaan ibadah haji bagi tahun 2021 masih belum dapat dipastikan.

“Kerajaan masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berhubung kebenaran ibadah haji serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, perkara ini turut didokong oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (Persada) Madinah, melalui kenyataan akhbar pada 6 Jun lalu, mereka turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan perkhidmatan badal haji boleh dilaksanakan oleh pelajar Malaysia di Arab Saudi tanpa permit atau lesen haji.

“Menurut mereka, pelaksanaan ibadah haji adalah berdasarkan kuota dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Harga bagi perkhidmatan badal haji antara RM1,500 hingga RM2,000 adalah sama sekali tidak munasabah jika mengambil kira kos permit, penginapan, pengangkutan, makanan dan lain-lain,” ujarnya.

Tegasnya, secara keseluruhan, pihak polis melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun 2021 adalah satu tindakan pramatang dan mungkin merupakan satu penipuan.

“Orang ramai yang berminat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini diingatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan-arahan terkini yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI