fbpx
Penternak perlu memastikan haiwan peliharaan mereka dalam keadaan baik sebelum dijual untuk tujuan korban.

Harga bahagian korban lebih mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bagaikan tiada kesudahan apabila setiap kali menjelang musim perayaan, harga barangan pasti meningkat.

Tinjauan Kosmo! di Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang mendapati harga satu bahagian lembu dan kambing korban sempena Hari Raya Aidil­adha pada bulan hadapan didapati naik antara RM50 hingga RM100.

Harga makanan haiwan ter­utama dedak meningkat didakwa menjadi salah satu faktor ­penyumbang.

Di Selangor, harga satu bahagian daging lembu korban adalah RM750 berbanding RM650 pada tahun sebelumnya.

Seorang penternak, Saipol Azmir, 37, berkata, harga makanan haiwan naik sehingga 30 peratus menyebabkan penternak terpaksa menjual lembu mahal sedikit pada tahun ini.

“Perkara ini (harga) bukan baharu,­ sebaliknya kami hadap setiap tahun. Pihak berkuasa sepatutnya kawal kenaikan supaya harga­ lembu korban lebih terkawal.

“Harga seekor lembu dianggarkan RM4,500 tahun lalu. Di­sebabkan kos makanan naik, kini harga haiwan ini mencecah RM4,850 seekor,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

JANIZAL memberi makanan kepada lembu di kandang ternakan miliknya di Pekan Nanas, Pontian, Johor.

Menurutnya, bagi yang me­lakukan korban mengikut bahagian­ pula, setiap satunya mengalami kenaikan antara RM50 ­hingga RM100.

Seorang lagi penternak, Muhammad Faizol Harol Hisham, 32, berkata, kenaikan harga lembu turut didorong kos pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Sebelum ini saya jual lembu­ sahaja, namun disebabkan pematuhan SOP seperti penyem­belihan dan melapah, kosnya perlu dibayar,” katanya.

Di Johor, penternak lembu dan kambing turut mendakwa kos bahan makanan yang sema­kin mahal sejak akhir-akhir ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai punca kenaikan harga ternakan korban.

Mohd. Azuad Rahmat, 32, berkata, penternak tidak berniat untuk mengambil kesempatan sebaliknya kenaikan itu adalah untuk mengimbangi kos pengurusan yang naik berkali ganda.

“Untuk menternak 50 ekor kambing, saya perlu RM1,000 untuk beli dedak, kacang soya dan pokok jagung kisar. Kos ini tidak termasuk ubat-ubatan untuk mencegah penyakit,” katanya.

Jelasnya, harga seekor kam­bing mencecah RM1,400 tahun ini berbanding RM1,000 hingga RM1,300 pada tahun lalu.

Bagi Janizal Mokmin, 41, pula, harga lembu dianggarkan RM4,000 hingga RM6,000 seekor mengikut saiz, manakala bahagian pula RM640 hingga RM780.

“Berdasarkan Pekeliling Jabatan Agama Islam Johor yang terbaharu, kerja-kerja melapah, memotong, menimbang dan membungkus dilakukan di rumah sembelihan berdaftar,” ujarnya.

Di Perak, penternak memberi­tahu kenaikan harga ternakan korban tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan operasi yang semakin tinggi.

Mereka mendakwa kenaikan harga dedak menyebabkan penternak besar dan kecil sama-­sama terbeban.

Bagi penternak dikenali sebagai Mohd. Jani, isu kenaikan harga­ makanan haiwan berlarutan setiap kali musim perayaan.

“Harga palet (makanan lembu) naik enam kali sejak Disember lalu, jualan ternakan pula agak perlahan tahun ini. Dedak paling murah dijual RM38 hingga RM40 seguni 50 kilogram (kg), ini diluar kawalan kami,” katanya.

Di Pulau Pinang, langkah syarikat pengeluar makanan haiwan menaikkan harga RM2 bagi setiap bungkusan 50kg bahan itu dipercayai berpunca daripada peningkatan bahan mentah di pasaran.

Seorang penyelia kilang pengeluar dedak yang dikenali sebagai Tan berkata, pihaknya tidak mampu bertahan sekiranya masih mengekalkan harga sama.

Kenaikan itu sudah pasti meresahkan penternak selain penularan penyakit Lumpy Skin Di­sease (LSD).

Seorang penternak yang dikenali sebagai Nordin, 45, berkata, dia tergamam selepas menerima notis kenaikan harga makanan ternakan kelmarin.

“Kali terakhir kenaikan adalah RM1.50 sebungkus bulan lalu. Kami dihimpit masalah yang bertimpa-timpa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN