fbpx
HARTINI mahu nasib kanak-kanak di negara ini terus terbela.

Hartini juarai isu kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NALURI keibuan wanita itu terserlah tatkala melihat dirinya sibuk melayan kerenah anak-anak kecil yang mengerumuninya.

Biarpun pelbagai soalan tidak putus-putus keluar daripada bibir-bibir si kecil itu, namun Datuk Dr. Hartini Zainudin yang merupakan salah seorang pengasas Yayasan Chow Kit (YCK) begitu tenang menjawabnya satu per satu.

YCK merupakan sebuah organisasi bukan berorientasikan keuntungan yang memberi perlindungan dan sokongan buat kanak-kanak terbiar, miskin, mangsa penderaan atau tidak miliki kerakyatan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Apa yang membuatkan penulis tersentuh ialah setiap jawapan yang diberikan turut diselitkan dengan senyuman manis di wajahnya.

Mula menjadi aktivis sosial yang membela nasib kanak-kanak sejak dirinya berusia hujung belasan tahun sewaktu mengikuti pengajian di Amerika Syarikat (AS), jelas sekali jiwa wanita kelahiran Johor Bahru, Johor dan dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor ini begitu dekat dengan kanak-kanak.

Bukan sekadar mengasaskan YCK, Hartini juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif bagi Yayasan Siti Sapura Husin, sebuah organisasi memfokuskan keperluan anak-anak, orang tua dan orang buta yang miskin atau terpinggir.

Hartini juga merupakan anggota Majlis Penasihat Nasional Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak.

Justeru, tidak hairanlah jika namanya begitu dikenali sebagai aktivis sosial terutama atas sumbangannya menyelamatkan anak-anak jalanan dan terbiar yang memerlukan perlindungan khususnya menerusi YCK.

Populariti wanita yang menerima anugerah Tokoh Wanita Berdaya 2019 ini turut bersemarak apabila wajah Hartini diabadikan pada setem Pos Malaysia pada awal tahun ini.

“Saya bekerja dengan kanak-kanak sebagai aktivis sosial sewaktu menuntut di AS lagi. Pada waktu itu, saya bermula dengan menyertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara itu yang memperjuangkan hak kanak-kanak.

“Bagaimanapun selepas kira-kira 20 tahun di perantauan, pada tahun 2005, saya pulang ke Malaysia dan mula menyertai program NurSalam kelolaan sebuah NGO, Yayasan Salam yang turut menumpukan bantuan buat kanak-kanak di Chow Kit. Program NurSalam kemudian telah diperbadankan menjadi Yayasan Chow Kit pada tahun 2010 dan saya merupakan salah seorang pengasasnya,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Pendidikan Bahasa Inggeris disusuli Ijazah Doktor Falsafah Pemantauan dan Penilaian (Pendidikan) dari Universiti Columbia, New York.

Enggan berkongsi banyak tentang perihal peribadinya, wanita ini sebaliknya mahu usaha pembangunan dan pembelaan kanak-kanak yang lebih ditonjolkan.

Hartini berkata, dia banyak menyaksikan kesukaran dihadapi sesetengah keluarga di negara ini terutamanya dalam kalangan miskin bandar di Chow Kit.

SIFATNYA yang penuh kemesraan dan empati yang tinggi membuatkan Hartini mudah didampingi semua termasuk golongan kanak-kanak dan remaja.

Di sebalik kemegahan dan kemajuan bandar raya Kuala Lumpur, kawasan Chow Kit masih dibelenggu dengan isu sosial yang tidak berkesudahan.

Majoriti penghuni di kawasan itu terdiri daripada golongan miskin bandar. Dengan masalah kewangan, kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

“Keluarga ini sering dianggap malas atau tidak mahu bekerja. Tanpa mereka sedari, golongan ini sebenarnya setiap hari berjuang untuk hidup dengan bekerja keras menanggung keluarga dan membesarkan anak-anak.

“Begitupun masalah kewangan sering menjadi masalah mereka,” katanya.

Tambahnya, tanpa pengawasan ketat ibu bapa dek kesibukan mencari nafkah, kanak-kanak dan remaja yang membesar di kawasan itu mudah terdedah dengan aktiviti negatif seperti penglibatan dalam kumpulan samseng, keganasan serta penyalahgunaan dadah.

Tidak cukup dengan itu, risiko terjebak dengan sindiket pelacuran, pemerdagangan manusia dan buruh bawah umur juga cukup tinggi buat anak-anak Chow Kit jika tidak diberi perlindungan sebaiknya.

Di sinilah Hartini memainkan peranan dengan mewujudkan pusat perkumpulan dan aktiviti buat anak-anak sekitar Chow Kit.

“Setiap hari saya tertanya-tanya, apakah yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak? Adakah makanan, keluarga yang bahagia, rumah yang selesa, kesihatan yang baik dan pelbagai soalan lain yang sering berlegar-legar dalam fikiran.

“Itulah perkara yang mempengaruhi dan menjadi inspirasi buat saya untuk terus membela nasib anak-anak ini terutamanya mereka yang dipinggirkan dan sangat miskin,” ujarnya.

Mahu memberi perlindungan kepada insan kurang bernasib baik menyebabkan Hartini mengambil keputusan mengabdikan dirinya kepada yayasan itu dan aktiviti-aktiviti amalnya dalam membantu kanak-kanak.

“Banyak yang saya pelajari di AS dan saya memegang kata-kata “with privilege, comes responsibility”.

“Justeru sekembalinya ke tanah air, saya mahu mengubah nasib kanak-kanak kurang bernasib baik. Pengalaman yang dikutip di AS membuatkan saya yakin mampu melakukan sesuatu untuk mengubah nasib mereka,” katanya yang telah membantu lebih 3,000 kanak-kanak di YCK, selain difahamkan turut mengambil beberapa kanak-kanak tanpa kerakyatan menjadi anak angkatnya.

PUSAT aktiviti kanak-kanak di Chow KIt ini mengumpulkan anak-anak di kawasan itu untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik dan berfaedah.

Terangnya lanjut, dia bukan sekadar mahu memberikan tempat yang selesa tetapi juga akses kemudahan yang diperlukan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik tanpa mengira kewarganegaraan.

“Saya lihat anak-anak ini mempunyai banyak potensi tetapi mereka tidak berpeluang mengembangkan minat dan bakat semula jadi yang dimiliki atas kekangan-kekangan tersebut.

“Di sinilah mereka akan diberikan ruang yang selamat dan didedahkan kepada banyak peluang positif bagi membolehkan setiap seorang daripada mereka mengenali dan mencungkil potensi diri masing-masing,” katanya.

Melihatkan isu sosial yang sering membelenggu kanak-kanak kurang bernasib baik, Hartini menjelaskan, hanya dengan pendidikan golongan ini mampu keluar daripada masalah kemiskinan.

Hartini telah mewujudkan pusat aktiviti anak-anak sekitar Chow Kit yang dinamakan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan KrashPad. PAKK menumpukan program untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, manakala KrashPad untuk remaja berusia 13 hingga 18 tahun.

Diumpamakan seperti ‘rumah’ bagi anak-anak ini, pusat tersebut merupakan satu-satunya tempat yang membolehkan mereka belajar, bermain dan bergaul dengan rakan-rakan dalam persekitaran selamat, selain memberi nilai tambah kepada diri masing-masing.

“Pendidikan menjadi fokus utama kami kerana dengan pendidikan jugalah mereka boleh pergi jauh dan maju ke depan. Mengambil contoh pada musim pandemik yang mana proses pembelajaran dilakukan secara dalam talian, lihat sajalah perbezaan di antara kanak-kanak dalam kalangan keluarga berada dan miskin.

“Kebiasaannya, anak-anak miskin cenderung untuk tercicir kerana kemudahan dan capaian akses kurang baik atau mungkin juga tidak miliki sistem sokongan yang bagus. Justeru di sini kami melengkapkan mereka dengan pelbagai bentuk kemahiran yang diajar oleh para guru dan sukarelawan berpengalaman,” katanya.

Kongsinya lanjut, terdapat anak-anak bimbingan YCK ‘terbang tinggi’ apabila ada antara mereka yang telah berjaya bergelar doktor, kaunselor dan guru.

“Biarpun mereka hidup dalam serba kekurangan, namun mereka mempunyai semangat dan cita-cita yang tinggi. Justeru, mereka sewajarnya diberi peluang yang sama seperti kanak-kanak lain di luar sana untuk mencapai impian.

“Saya gembira melihat sokongan diberikan badan-badan dan syarikat korporat terhadap anak-anak ini misalnya penganjuran Kempen Dutch Lady #DanaRM1JutaHarapan baru-baru ini yang membolehkan anak-anak kurang bernasib baik memenangi dana pendidikan untuk masa akan datang.

“Ia secara tidak langsung memberi sinar harapan baharu buat anak-anak ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN