fbpx

Pembekal sayur didakwa membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
R. Chandran didakwa atas tuduhan membunuh seorang lelaki bulan lalu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

TELUK INTAN – Seorang pembekal sayur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki bulan lalu.

R. Chandran, 34, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh.

Dia didakwa membunuh R. S. Ragu, 29, di hadapan kedai kosong di Hala Kristal 1, Taman Desa Maju dekat Langkap antara pukul 6 hingga 6.50 petang 13 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Chandran juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Kiran, 19, dan S. Saravanan, 26, menggunakan sebilah parang di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara, denda dan sebat jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.

Hakim Norita kemudian menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki berusia 29 tahun ditemui orang awam pada pukul 9 malam dengan lengan tangan kanan hampir putus dalam semak di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap.

Kejadian dipercayai berlaku setelah tertuduh berang kerana mangsa yang juga jiran menegur anaknya membuat bising iaitu menunggang motosikal di hadapan rumah lelaki itu.

Motif tersebut didedahkan selepas lima individu termasuk suspek utama berusia 34 tahun ditangkap Selasa lalu.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI