fbpx

Dua lelaki ditahan bawa masuk dadah untuk rakan pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PORT DICKSON – Tindakan dua lelaki yang cuba membawa masuk dadah jenis syabu kepada rakannya yang sedang dirawat sebagai pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Politeknik Port Dickson di Teluk Kemang di sini memakan diri apabila mereka ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 35 tahun itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk dadah jenis syabu dalam bungkusan makanan.

“Dua suspek itu cuba membawa dadah jenis syabu untuk diberikan kepada rakan mereka yang juga pesakit Covid-19 yang dirawat di PKRC Politeknik Port Dickson.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi ketulan berbentuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu tiub kaca yang dibalut dengan tisu dipercayai digunakan sebagai alat menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, hasil ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu.

“Justeru, polis Port Dickson bersama agensi berkaitan akan sentiasa meningkatkan kawalan di PKRC Politeknik Port Dickson bagi mengelak sebarang benda atau bahan terlarang masuk dalam kawasan tersebut terutama dadah.

“Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aidi Sham memberitahu, sebanyak 29 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP telah dikeluarkan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh semalam.

“Kesalahan dilakukan termasuk tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas kod MySejahtera, berkumpul tanpa penjarakan fizikal, membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan dan lain-lain kesalahan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI