fbpx

Musim durian semasa PKP, peniaga buntu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsol Abdul Aziz menunjukkan durian Balik Pulau yang dijual di gerai sementara di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Bulan Jun hingga Ogos di negeri ini selalunya sinonim dengan musim durian terutamanya dari Balik Pulau yang memberikan pulangan berganda buat pemilik dusun dan peniaga.

Bagaimanapun, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini, para peniaga terpaksa berdepan kerugian berganda sehingga mencecah RM80,000 ekoran raja buah itu tidak dapat dipasarkan secara meluas.

Seorang pengusaha, Shamsol Abdul Aziz, 34, berkata, dia yang mempunyai kebun seluas 1.6 hektar di Sungai Pinang, Balik Pulau telah melabur kira-kira RM120,000 untuk penjagaan serta pembelian baja berkualiti.

“Hasil durian dijangka meningkat sehingga 17 tan tahun ini berbanding 11 tan tahun lalu kerana saya gunakan baja yang berkualiti tinggi.

“Namun pasaran yang sebelum ini sehingga ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain tergendala akibat PKP dan saya jangka kerugian pada musim ini bakal mencecah RM80,000,” katanya ketika ditemui di gerainya di Tanjong Tokong di sini hari ini.

Shamsol yang mengusahakan kebun durian sejak 10 tahun lalu berkata, pada 2020 dia dan peniaga durian lain berdepan kesukaran akibat PKP yang pelbagai jenis dan dia tidak menyangka situasi lebih getir dihadapi tahun ini.

“Pada tahun lalu, kami masih boleh membuka gerai di tepi jalan untuk menjual durian namun tahun ini masih belum ada keputusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Kami amat berharap dapat membuka gerai di tepi-tepi jalan kerana bimbang berlaku lambakan hasil durian pada musim ini,” katanya.

Tambahnya, dia telah cuba berniaga durian secara dalam talian dan menyertai platform Jom Beli Online (JBO@MBPP) yang diperkenalkan oleh MBPP, namun hasil jualan tidak serancak ketika berniaga di gerai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI