fbpx

Fadilah Mansor dikecam sebab Opah jahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAKONAN Fadilah Mansor sebagai Opah yang busuk hati dalam drama Sabarlah Duhai Hati berjaya menyakitkan hati penonton.

PETALING JAYA – Gara-gara watak nenek jahat atau Opah lakonannya menerusi naskhah Sabarlah Duhai Hati, dramatis senior Datin Fadilah Mansor diserang peminat fanatik  drama tersebut dengan kata-kata kesat.

Kata pelakon berusia 62, dia tidak menyangka ada yang sanggup menggelarkannya seperti babi. Dia bagaimanapun tidak mahu melenting, sebaliknya menganggap khalayak hanya terbuai dengan emosi dek terlalu membenci karakter hitam lakonannya.

“Cara, sikap dan perbuatan Opah dalam drama itu memang menyakitkan hati. Saya tahu ramai geram dengan Opah tetapi tak sangka ada yang sanggup cari Instagram saya untuk bagi komen babi.

“Saya terkejut. cuma saya tak cepat melatah. Saya maafkan individu itu sebab yakin dia bukan tujukan kepada saya selaku orang yang membawakan karakter berkenaan, sebaliknya kepada Opah.

“Lagi pun saya yakin semua penonton pun faham itu sekadar lakonan untuk dijadikan pengajaran kepada sesiapa pun jangan hanya berajakan harta.

“Apabila emosi segelintir penonton terbawa-bawa begini, itu bermakna lakonan saya dalam menterjemahkan sikap negatif nenek berkenaan menjadi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Drama rantaian yang ditunjangi Saharul Ridzwan dan Amyra Rosli itu baru melabuhkan tirainya malam tadi dan menjadi trending gara-gara watak kebencian penonton terhadap watak Opah lakonan Fadilah dan Nadia (Iman Suhana).

Mengakui pertama kali membawakan karakter antagonis, katanya keberkesanan watak terbabit membuka lebih luas tawaran daripada rumah produksi lain waima sewaktu belum tamat tayangan.

“Alhamdulillah. Sebelum ini, orang cuma sangka saya hanya ambil watak putih. Sebenarnya tidak, sebab saya pun mahu mencabar diri menampilkan sisi berbeza.

“Awal-awal dahulu, takut juga kalau dibenci tetapi saya enggan melebih-lebih. Contoh dalam Sabarlah Duhai Hati, saya berbincang dengan pengarah tak mahu marah menjerit-jerit, cukup dengan ekpresi mata dan tona suara.

“Sebaik drama bersiri ini berakhir, ada tiga projek menunggu. Syukur rezeki anak cucu. Kita tengok dulu macam mana, cuma bukan karektor yang akan dibenci. Watak itu kita rehatkan dulu,” kongsi balu Allahyarham Datuk A Rahman Hassan itu lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI