fbpx

Pasangan suami isteri eksploitasi anak yatim ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri ditahan selepas terlibat dalam kes eksploitasi tenaga buruh membabitkan kanak-kanak di sebuah rumah sekitar Taman Bukit Seputeh di sini semalam.

Difahamkan, seramai 14 kanak-kanak dari rumah anak yatim di Kulim, Kedah telah dibawa oleh suspek untuk melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul sekiranya tidak mengikut arahan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, laporan polis telah dibuat salah seorang mangsa berusia 18 tahun kira-kira pukul 4.10 petang semalam selepas berjaya melarikan diri dari rumah pasangan terbabit.

“Penyiasatan awal mendapati, mangsa bersama 16 kanak-kanak dari sebuah rumah anak yatim di Kedah telah dibawa pasangan suami isteri terbabit ke sebuah rumah di kawasan Taman Bukit Seputeh pada tahun 2017.

“Mereka telah dipaksa melakukan kerja rumah sepanjang hari. 14 daripada mereka telah melarikan diri disebabkan tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pasangan terbabit merupakan warga tempatan, masing-masing berusia 55 dan 54 tahun.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah menahan pasangan suami isteri terbabit dan menyelamatkan lima kanak-kanak berusia 8 hingga 17 tahun.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” tegasnya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 di bawah kesalahan pemerdagangan kanak-kanak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI