fbpx

Tahanan perlu semakan kesihatan, elak mati dalam lokap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan individu yang ditahan (tahanan) agar menjalani semakan kesihatan terlebih dahulu bagi mengelak insiden tahanan mati di dalam lokap berulang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan itu telah dilaksanakan serta merta bagi mengelak berlakunya insiden tahanan mati di dalam lokap sepertimana yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

“Pegawai penyiasat atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penahanan suspek di balai atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) perlu membuat semakan kesihatan terhadap suspek sama ada menerusi individu itu sendiri atau waris terdekat.

“Kita memandang serius mengenai isu kematian suspek dalam tahanan dan tidak mahu kes yang berlaku sebelum ini berulang semula.

“Sejak akhir-akhir ini, cara pengendalian tahanan juga sudah lebih baik dan akan terus ditambah baik pada masa akan datang,” ujarnya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan siasatan punca kematian peniaga susu lembu, A. Ganapathy, 40, yang didakwa dipukul polis dengan paip getah ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya terpaksa dipotong.

Ganapathy ditahan polis pada 24 Februari lalu dan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April selepas sebulan menerima rawatan.

Jelas beliau lagi, pihak PDRM sudah menyerahkan siasatan berkenaan perkara itu kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) jika terdapat salah laku di pihak PDRM.

“Ketika ini kita sedang berusaha membawa nama PDRM kepada perkhidmatan yang lebih baik serta dekat dengan masyarakat,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI