fbpx

Mangsa insiden LRT kemuka notis undang-undang tuntut RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penumpang yang mengalami kecederaan selepas tren LRT yang mereka naiki bertembung dengan tren lain berdekatan Stesen KLCC.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keluarga salah seorang mangsa dalam insiden pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengemukakan Notis Tuntutan Undang-undang (Legal Notice Of Demand) terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

Notis tuntutan itu dikemukakan oleh keluarga mangsa, Wong Chee Foong, 52, menerusi firma guaman Tetuan Jazzmine Khoo & Associates.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, peguam Jazzmine Khoo ketika dihubungi berkata, tuntutan itu antaranya terdiri daripada kos perbelanjaan perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi serta trauma dan kehilangan pendapatan.

Kata kenyataan itu, mangsa berkerja sebagai Chef Dapur di sebuah hotel di ibu negara kini mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, muka dan tulang belakang akibat nahas itu sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan lanjut selain masih belum sedar dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bapa kepada empat anak berusia antara tiga tahun hingga 15 tahun itu merupakan satu-satunya penyara nafkah keluarganya.

“Keluarga mangsa berharap agar pihak terlibat dapat menjawab surat tersebut dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih baik dan wajar dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, peguam itu menambah, keluarga mangsa kecewa kerana sehingga kini tiada sebarang usaha dilakukan Prasarana berhubung kos perubatan dan kerugian pendapatan serta bantuan RM1,000 seperti dijanjikan sebelum ini.

“Walaupun begitu, keluarga juga menyatakan bahawa RM1,000 tersebut bukanlah jumlah pampasan setimpal kerana ganti rugi dialami mangsa adalah lebih besar,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI