TANGISAN dan rintihan yang kuat kedengaran di sebalik hembusan angin lewat malam itu membuatkan sesiapa sahaja yang mendengarnya berada dalam ketakutan.
Bagi sesetengah masyarakat di Thailand, situasi itu dianggap biasa, tetapi amat menyeramkan.
Seorang petani dikenali sebagai Pranath, 52, berkata, suara tangisan mendayu-dayu itu dikaitkan dengan hantu yang amat ditakuti di Negara Gajah Putih itu iaitu Phi Pret.
Katanya, mendengar suara rintihannya sahaja sudah menakutkan, apatah lagi jika terserempak dengan hantu berkenaan.
Jelasnya, dia hairan apabila segelintir masyarakat menggelarkan Phi Pret sebagai hantu paling taat disebabkan kelibatnya didakwa ditemui di rumah ibadat dalam keadaan bersujud.
“Sebenarnya, Phi Pret bukanlah hantu suci dan taat seperti disangka banyak orang.
“Sebaliknya, ia merupakan roh jahat yang menjelma kerana tidak tenteram di alam sana. Menurut kepercayaan, semasa hayatnya roh itu adalah individu materialistik, tidak tahu berterima kasih dan bersikap biadab.

“Menyesali perbuatannya, roh tidak tenteram itu menjelma di rumah ibadat demi mencari keampunan daripada dosa-dosa yang dilakukannya semasa hidup,” katanya.
Tidak seperti kelibat hantu lain yang menakutkan, menurut Pranath, Phi Pret memiliki wajah agak lucu.
Badannya dipercayai tinggi seperti pohon kelapa, manakala tubuhnya lebar macam pokok mempelam.
Hantu ini juga dikatakan memiliki mulut sebesar lubang jarum kerana ia merupakan sumpahan buat dirinya yang ketika hidup suka bercakap bohong dan memaki hamun.
“Biarpun disifatkan sebagai hantu berwajah lucu, namun kelibatnya paling dielak untuk ditemui. Ini mungkin disebabkan suaranya menyeramkan dan tubuhnya yang tinggi seperti galah,” jelasnya.
Masyarakat di Thailand sanggup menggunakan pelbagai cara seperti memakai azimat dan tangkal, selain mendapatkan khidmat dukun untuk melakukan ritual pengusiran roh yang menjelma.
Ceritanya lagi, biarpun pelbagai cara digunakan untuk meyakinkan pandangan sesetengah masyarakat yang percaya Phi Pret adalah roh jahat, namun mereka tetap dengan pendirian tersebut.
Lagipun, ia adalah kepercayaan yang dipegang mereka sejak dahulu.

Bagaimanapun, majoriti masyarakat percaya suara tangisan itu adalah berupa penyesalan disebabkan dosa silam.
“Ada mendakwa, suara itu seolah-olah hembusan angin yang bertiup. Sekali terdengar, meremang bulu roma,” katanya.
Tambah Pranath, bukan hanya memohon keampunan, suara menyeramkan itu sengaja dilontarkan kuat oleh Phi Pret.
Ia dibuat supaya masyarakat yang mendengarnya turut ‘berdoa’ agar dosa silam roh itu diampunkan, seterusnya si mati dapat bersemadi dengan tenang.
“Cerita hantu di negara ini tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Ia sebahagian kepercayaan masyarakat sejak dahulu.
“Sekurang-kurangnya kisah hantu Phi Pret dapat dijadikan teladan agar kita semua sentiasa berbuat baik dan percaya setiap perbuatan jahat akan dibalas kelak,” ujarnya.














