fbpx

Situasi makin buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

JIKA dilihat pada kes positif Co­vid-19 yang telah melepasi ang­ka 7,000 sehari, situasi itu cukup memberi gambaran betapa seriusnya penularan jangkitan dalam kalangan penduduk negara ini.

Lebih genting apabila unit rawatan rapi (ICU) di kebanyakan hospital yang menempatkan pesakit Covid-19 dilaporkan sudah hampir penuh.

Kadar penggunaan katil di ICU di Lembah Klang dikatakan telah mencecah 113 peratus, manakala secara keseluruhan di seluruh negara kini mencapai 91 peratus.

Bagi menampung peningkatan itu, hospital-hospital terpaksa menukar fungsi kawasan lain seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil dan peralatan perubatan tertentu.

Bagi kes kematian harian akibat Covid-19 pula, angkanya turun naik dan jumlah kematian harian tertinggi yang direkodkan setakat ini ialah pada 26 Mei lalu iaitu sebanyak 63 kes.

Di sebalik angka-angka yang menakutkan itu, masih ada yang seakan-akan mengambil ringan dengan bahaya jangkitan virus berkenaan.

Tidak mahu pergi jauh, penulis beri contoh di Kedah sendiri yang mana terdapat sebilangan penduduk dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar dan Kubang Pasu.

Pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan termasuk berhimpun sambil berbual dan makan di sebuah rumah di Gurun dalam daerah Kuala Muda kerana mahu memasang bendera Palestin.

Ironinya, pemeriksaan polis ke atas rumah itu tidak menemui sebarang bendera didakwa sekumpulan 13 individu berkenaan.

Ada juga yang sanggup me­ngalihkan penghadang konkrit yang dipasang di la­luan tikus menggunakan jengkaut hanya kerana mahu merentas daerah bagi kawasan PKPD Kota Setar.

Bak kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini “Kita nak hidup, kitalah jaga kan.., dok (nak) harap orang jaga, kacaulah.”

“Semua orang kena buat self lockdown. Tidak perlu kepada penguatkuasaan yang mana polis kena pi ligan (kejar), tidak perlu orang pantau, orang tangkap.

“Duduklah di rumah dengan jaga diri masing-masing,” kata Muhammad Sanusi yang sering mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang pula berkata, peningkatan kes secara mendadak memberi tekanan hebat kepada sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di ne­geri itu.

”Peningkatan kes jangkitan Covid-19 sekarang ini kebanyakannya adalah akibat ketidakpatuhan kepada SOP.

“Walaupun telah berulang kali diuar-uarkan tetapi masih ada yang merentas daerah dan ne­geri, berkumpul dan me­ngadakan majlis, tidak memakai pelitup muka dan bersesak di tempat awam serta menjalankan aktiviti keagamaan dalam kea­daan mengundang penularan penyakit ini,” katanya.

Rekod tertinggi untuk kes baharu jangkitan Covid-19 di Kedah ialah 542 kes yang dicatatkan pada 26 Mei lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman meminta orang ramai mengurangkan kekerapan ke kedai, pasar raya dan pusat beli-belah.

“Hal ini mungkin akan menjejaskan kalangan peniaga bagi mendapatkan pelanggan tetapi kita harus ingat bahawa setiap rakyat di seluruh negara menghadapi situasi sukar pada ketika
ini.

“Selagi wabak ini tidak dapat dibendung, maka kesukaran ini akan terus menghantui kita semua,” tambahnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI