fbpx

Puluhan ribu gagal patuhi janji temu suntikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang awam beratur sebelum mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur awal bulan lalu.

PETALING JAYA – Pihak ber­kuasa di enam buah negeri mendedahkan ribuan penduduk mereka enggan hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan pelbagai alasan seperti tidak menyemak janji temu dan tinggal jauh dari Pusat Pem­berian Vaksin (PPV).

Enam negeri itu ialah Ne­geri Sembilan (6,323), Perak (9,000), Kedah (10,827), Perlis (3,000), Melaka (3,612) dan Pahang (10,000).

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Negeri Sembilan merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik berkata, mereka yang tidak hadir dikira dari 19 April hingga 24 Mei lalu.

“Antara alasan ialah tidak menyemak aplikasi MySejahtera, tinggal jauh dari PPV, sukar datang dan tiada orang mahu menghantar sehingga menyebabkan individu berkenaan terlepas janji temu.

Seramai 524 individu enggan menerima vaksin di Negeri Sembilan.

Sementara itu di Kota Bharu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya telah menggantikan senarai nama hampir 10,000 penerima yang tidak hadir untuk janji temu suntikan vaksin mereka.

“Masih ramai sebenarnya rakyat yang ingin mendapat suntikan vaksin lebih awal.

“Setakat ini seramai 35,905 daripada 208,480 telah me­nerima suntikan,” katanya.

Menurut Zaini, berdasarkan data, hanya 29.6 peratus individu yang berusia 18 tahun ke atas dan 34.1 peratus warga emas di Kelantan yang mendaftar sebagai pene­rima vaksin.

Di Alor Setar, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang memberitahu, seramai 10,827 individu didapati tidak hadir janji temu dan tempat mereka telah digantikan.

“Jumlah itu kira-kira 35 peratus daripada 30,100 yang diberikan janji temu. Mereka yang tidak hadir merupakan warga emas dan penghidap penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, masalah jantung dan sebagai­nya,” katanya.

Tambahnya, seramai 579,526 atau 37.6 peratus daripada 1.54 juta telah mendaftar di Kedah sehingga Isnin lalu.

Di Perlis, Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd. Yusof memberitahu, kira-kira 3,000 daripada lebih 20,000 individu tidak hadir.

“Mereka bukan tidak mahu cuma keadaan tidak meng­izinkan. Kita akan melakukan penambahbaikan,” katanya.

Di Melaka, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, seramai 3,612 penduduk tidak hadir.

“Antara alasan yang diberikan tidak tahu sudah ada tarikh janji temu, tidak sihat, berada di luar kawasan, mahu tukar tarikh, tiada­ orang bawa,” katanya.

Di Pahang, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah berkata, ­kira-kira 10,000 individu didapati melanggar janji temu.

“Setakat ini kita telah menggunakan 90 peratus vaksin yang diterima dan selebihnya disimpan untuk dos kedua. Usaha memberi vaksin sedang giat dijalankan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI