fbpx

Atlet elit Olimpian ibarat askar komando

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

 

MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

TUMPUAN peminat-peminat sukan tanah air ketika ini terarah kepada Pandelela Rinong kerana merasakan penerjun sensasi negara itu akan menceriakan kem Malaysia di pentas Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun bermula Julai depan.

Pandelela berjaya bergelar juara Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa 2021 dalam kategori 10 meter (m) platform individu di Pusat Akuatik Tokyo baru-baru ini.

Kejayaan itu memberikan gambaran cerah Olimpian dari Sarawak berusia 28 tahun ini sudah berada pada landasan tepat untuk menamatkan penantian Malaysia menggenggam pingat emas pertama di pentas Olimpik.

Namun, semua pihak terutama peminat sukan tempatan perlu bersabar dan tidak memberikan tekanan melampau kepada Pandelela atau mana-mana atlet negara supaya fokus mereka tidak terjejas sehingga menjejaskan rentak dan persembahan.

Apa tidaknya, kontinjen negara masih belum pernah meraih sebarang pingat emas sepanjang penglibatan dalam temasya berprestij dunia itu sejak kali pertama beraksi di bawah nama Malaya pada edisi Tokyo 1964.

Penganalisis sukan tempatan yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Pekan Ramli percaya atlet-atlet negara yang layak ke Olimpik Tokyo sememangnya sedar akan tanggungjawab dipikul mereka.

Katanya, kesemua atlet termasuk Pandelela lebih memerlukan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada me­nerima tekanan ‘tidak sihat’.

“Kita sentiasa positif dengan pencapaian Pandelela, tetapi ia bukan satu jaminan atau gambaran mudah apabila di Tokyo nanti. Kita tak boleh anggap se­olah-olah sudah menang.

“Kita tak boleh pesimis atau negatif kerana kita juga perlu bangkitkan semangat dalam diri mereka. Cuma takut apabila orang terlalu yakin, ia boleh memberikan tekanan tinggi kepada atlet-atlet.

“Kekuatan mental memainkan peranan besar kerana hari-hari mereka seksakan diri, sebab itu saya pernah cakap atlet elit ibarat askar komando,” katanya.

Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini bakal menjadi penampilan keempat Pandelela selepas membuat debut pada edisi Beijing 2008 di China diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016 di Brazil.

Sepanjang tiga edisi lalu, Pandelela berjaya meraih pingat gangsa 10m platform individu London 2012 dan perak dalam kategori 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong pada Rio de Janeiro 2016.

Seorang lagi pertaruhan terbaik kontinjen negara untuk memenangi pingat emas di Tokyo adalah jaguh pecut keirin, Azizulhasni Awang selain Shah Firdaus Sahrom juga dilihat mampu mencipta kejutan bersejarah.

Azizulhasni yang pernah meraih pingat gangsa keirin empat tahun lalu, sedang bertungkus lumus dalam setiap sesi latihannya di Brisbane, Australia dalam usaha merealisasikan harapan bergelar juara di Tokyo nanti.

Azizulhasni dan Shah Firdaus turut layak ke Olimpik Tok­yo ialah empat lagi penerjun, Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee.

Baki atlet yang layak buat masa ini ialah empat pelayar, Khairulnizam Afendy, Nur Shazrin Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali selain Khairul Anuar Mohamad (memanah) serta Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik).-K! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI