fbpx

Padah jual seragam polis tanpa kebenaran, enam individu diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam individu terdiri daripada pekerja dan pemilik premis diberkas ketika serbuan di Pekan Sungai Besi, pada 19 Mei lalu.

PETALING JAYA – Gara-gara menjahit dan menjual pakaian seragam polis tanpa kebenaran, enam individu yang merupakan pekerja dan pemilik premis diberkas di kawasan Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 19 Mei lalu.

Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, sepasukan polis dari Cawangan Pelesenan, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah membuat serbuan ke atas tiga buah premis di lokasi berkenaan sekitar pukul 3 petang.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat mengenai operasi premis itu yang menjalankan operasi menjahit dan menjual pakaian seragam polis tanpa kebenaran.

“Melalui serbuan itu, seramai enam individu berusia lingkungan 30 hingga 52 tahun ditahan, tiga daripadanya merupakan lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai pekerja.

“Manakala tiga lagi merupakan wanita tempatan yang merupakan pemilik premis perniagaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.

“Tiga wanita tempatan telah diberikan jamin polis pada hari yang sama manakala tiga lelaki warga asing itu ditahan reman sehingga 7 Jun depan.

“Kegiatan menjahit dan menjual pakaian serta peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran perlu dibanteras kerana dikhuatiri pakaian atau peralatan yang dijahit/dijual akan disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menyamar sebagai pegawai atau anggota polis,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 (tiada kebenaran menjual pakaian dan peralatan PDRM), Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI