fbpx
Gambar hiasan.

Rugi puluhan ribu ditipu skim pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGENANGKAN kesilapan yang dilakukan lima tahun lalu ternyata telah memberi kesedaran kepada seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Amin agar lebih berhati-hati untuk terlibat dalam aktiviti pelaburan.

“Saya mengakui pernah menjadi salah satu mangsa syarikat pelaburan dan wang yang dilaburkan itu lesap begitu saja.

“Kerana terpengaruh dengan rakan yang turut menyertai pelaburan ditawarkan sebuah syarikat yang menjanjikan pulangan pelaburan tinggi itu telah menyebabkan saya tidak berfikir panjang untuk turut serta,” katanya yang kini berusia 30-an kepada Panorama.

Amin menjelaskan, semuanya terjadi setelah dia terpedaya apabila melihat sendiri bagaimana rakannya menikmati hasil pelaburan yang disertai.
Rakannya itu menunjukkan sejumlah wang yang dibayar kepadanya oleh syarikat pelaburan itu.

Menurut Amin, rakannya melabur sebanyak RM5,000 dalam syarikat pelaburan tersebut.

“Dua bulan kemudian, rakan saya menunjukkan keuntungan pelaburan sebanyak RM2,000 yang diterima olehnya.

“Dia juga menjelaskan, jika lagi banyak melabur, lagi banyak keuntungan yang akan diperoleh,” jelasnya.

Memikirkan dirinya mempunyai sejumlah wang yang disimpan telah mendorong Amin untuk menyertai pelaburan tersebut bagi mengembangkan lagi wang hasil pelaburan.

Sebelum menyertai skim itu, Amin terlebih dahulu menyelidik serba sedikit latar belakang syarikat tersebut.

Rakannya memberitahu bahawa syarikat itu terlibat dalam perlaburan pertukaran mata wang, saham dan turut menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjadi pembekal barangan untuk agensi kerajaan.

Selain itu, Amin juga mengikuti laman sosial pengasas syarikat pelaburan tersebut untuk lebih yakin.

“Saya lihat pengasas itu mempunyai rumah yang besar dan juga kereta mewah. Itu menyebabkan saya mempunyai kepercayaan untuk melabur.

“Tanpa berfikir panjang, saya telah melabur sebanyak RM5,000. Tidak lama selepas itu, saya mendapat pulangan ke atas pelaburan yang dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, itu membuatnya semakin yakin dan menambah pelaburannya lagi dan turut mendapat pulangan.

Selepas dua kali melabur dan mendapat hasil pelaburan, Amin cuba mengajak ahli keluarganya untuk turut serta melabur.

“Untuk pelaburan seterusnya saya telah mengumpul modal yang dikutip oleh ahli keluarga dan berhasrat membahagikan pulangan pelaburan kepada mereka setelah menerimanya.

“Saya melabur hampir RM70,000 untuk kali ini dan dijanjikan akan menerima pulangan pelaburan hampir RM100,000. Ayah saya yang baru saja bersara pencen turut memberi sedikit modal untuk melabur,” katanya.

Begitu juga isteri Amin, dia memberi wang hantaran perkahwinan untuk dilaburkan dan abangnya pula menggunakan wang simpanannya.

 

KEWUJUDAN skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi adakalanya didalangi kegiatan penipuan.–GAMBAR HIASAN

“Atas dasar yakin setelah menerima pulangan pelaburan sebanyak dua kali sebelum ini jadi bagi seterusnya saya melabur dalam jumlah yang lebih tinggi,” katanya.

Tetapi, nasib malang menimpa Amin setelah hampir empat bulan melabur, dia masih belum menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan.

Bukan dia sahaja, malahan pelabur-pelabur lain turut menerima nasib sama dan setiap hari mereka akan bertanya kepada pengasas syarikat pelaburan itu dalam kumpulan WhatsApp bilakah mereka akan menerima pulangan seperti dijanjikan.

Pelbagai alasan diberikan pengasas tersebut dan dia berjanji untuk membayar pulangan pelaburan dalam waktu terdekat.

“Pengasas ini memberi alasan bahawa dia mengalami kerugian dan dalam masa sama masih belum menerima bayaran daripada pelanggan lalu itu menyukarkannya untuk membayar pulangan pelaburan. Dia berjanji akan membayar sekali gus modal dan juga pulangan pelaburan kepada kesemua pelabur.

“Tapi itu hanya sekadar janji selepas hampir setahun menunggu, kami masih belum menerima apa-apa bayaran dan dia hanya memberikan pelbagai alasan,” jelasnya.

Amin menambah, ada pelabur yang mengugut untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Tetapi pengasas itu mengatakan, bahawa laporan yang dibuat akan menyukarkan dia membayar kembali modal dan pulangan pelaburan yang dijanjikan.

Namun setelah dua tahun berlalu, dia dan pelabur lain masih belum menerima modal serta pulangan pelaburan yang sepatutnya.

Laporan terhadap pihak berkuasa juga telah dilakukan namun tindakan terhadap pengasas itu sukar untuk diambil kerana ramai pelabur lain tidak memberikan kerjasama. Masing-masing malas mengambil tahu seakan-akan reda ditipu.

“Saya dan beberapa pelabur lain cuba memburu pengasas syarikat pelaburan ini yang telah menukar nombor telefon dan sering berpindah-randah sekali gus menyukarkan kami untuk mencarinya.

“Memang sukar untuk saya mendapatkan kembali wang yang sudah dilaburkan. Apa yang boleh saya lakukan kini cumalah menjadikan ini sebagai satu iktibar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN