MENDIRIKAN rumah tangga dengan gadis pilihan hati merupakan perkara yang cukup membahagiakan buat seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azman.
Sebaik sahaja tamat pengajian dan kedua-duanya mendapat pekerjaan sebagai penjawat awam, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Perkahwinan mereka amat bahagia kerana direstui oleh keluarga daripada kedua-dua belah pihak.
Setahun setelah berkahwin, isteri Azman disahkan mengandung dan itu berita yang paling bermakna dalam hidup mereka.
“Kami hidup penuh bahagia pada waktu itu. Saya dan isteri amat bersyukur selepas diberitahu doktor bahawa kami bakal dikurniakan cahaya mata,” ceritanya kepada K2.
, langit cerah nan bahagia yang diharapkan berpanjangan, mendung tiba-tiba apabila kedua-duanya menerima ujian yang berat apabila isterinya melahirkan bayi mereka.
Azman mendakwa, kerana kesilapan doktor yang menyambut kelahiran, bayi mereka berhadapan masalah selepas dilahirkan.
“Sewaktu dalam kandungan, bayi kami sihat sahaja.
“Dia lemas ketika proses kelahiran dan menyebabkan anak saya membesar dalam keadaan tidak normal,” katanya.
Tambah Azman, anaknya pada ketika itu hanya boleh meminum susu khas menggunakan bantuan saluran tiub.
“Isteri saya tidak boleh menerima kenyataan itu. Saya hanya boleh menasihatinya untuk bersabar,” jelasnya.
Masa terus berlalu dan anak mereka yang membesar sebagai orang kelainan upaya (OKU) hidup dalam keadaan penuh kesukaran, tidak seperti kanak-kanak lain seusianya.
Walaupun telah berusia tiga tahun, anak mereka masih tidak mampu untuk bangun dan hanya terbaring serta perlu dibantu untuk makan.

Azman menjelaskan, isterinya berubah dan berlainan sama sekali setelah mereka mempunyai anak OKU seolah-olah dirinya tidak boleh menerima hakikat itu.
“Saya bernasib baik tinggal berdekatan dengan ibu. Ibulah yang banyak membantu untuk menjaga anak saya,” jelas Azman.
Katanya, isterinya amat tertekan apabila melihat anak-anak saudaranya yang lain membesar dengan normal tetapi tidak anaknya.
Sejak itu, isterinya berubah menjadi seorang yang cepat marah dan mereka sering bertengkar terutamanya dalam hal menguruskan anak.
Pernah sekali, Azman hilang sabar dan menampar isterinya itu ketika mereka bergaduh.
Isterinya seolah-olah hilang arah tujuan dan marah kepadanya termasuk meluahkan perasaan menyesal kerana melahirkan anak mereka.
“Isteri saya juga sering keluar rumah dan menghabiskan masa bersama rakan-rakan dengan memberi alasan berasa tertekan berada di rumah.
“Saya tidak kisah untuk dia keluar untuk mencari ketenangan. Tetapi apabila terlalu kerap keluar seakan ingin melepaskan tanggungjawab seorang ibu membuatkan saya semakin tawar hati kepadanya,” bicara Azman.
Boleh dikatakan Azman dan ibunya yang banyak menguruskan anak itu.
Hubungan Azman bersama isteri juga semakin hambar dan mereka jarang bersama.
Ada masanya mereka tidur di bilik berasingan dan dia sendiri berasakan
perkahwinan mereka semakin tidak bahagia.
Setelah anak mereka berusia lima tahun, isterinya masih tidak dapat menerima kenyataan.
Paling pedih, jelas Azman, isterinya menyatakan hasrat untuk berpisah dan mahu pulang ke kampung halamannya di Sarawak.
Memikirkan perkahwinan yang mereka bina atas dasar cinta semakin pudar,
Azman mengambil keputusan melepaskan isterinya secara baik. Mereka akhirnya sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di utara Semenanjung.
Azman mengambil keputusan untuk membesarkan anaknya bersama ibunya setelah dia dan isteri berpisah.Tiga tahun selepas perceraian, anak malangnya itu meninggal dunia tanpa mendapat kasih sayang seorang ibu.














