fbpx

Pemandu maut, SUV terjunam dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUV jenis Nissan X-Trail yang dipandu mangsa yang terjunam ke dalam Sungai Durian, Kuala Krai hari ini.

KUALA KRAI – Seorang pembekal perkhidmatan syarikat pembinaan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Durian di Kilometer 65.2, Jalan Kota Bharu – Gua Musang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa, P. Kamarudeen, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu SUV jenis Nissan X-Trail sedang dalam perjalanan dari Laloh di sini menuju ke rumah di Taman Seri Wali, Bukit Sireh.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh jambatan Sungai Durian.

“Insiden itu menyebabkan SUV dipandu mangsa terjunam ke dalam sungai.

“Selepas kejadian, mangsa telah dikeluarkan oleh penduduk kampung sebelum membawanya ke kawasan tebing sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Suzaimi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan turut mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian mangsa ketika memandu kenderaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI