fbpx

Amin sangkal bapa jadi tiket masuk dunia seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIN DANIELL

DIKURNIAKAN pakej sempurna, jejaka berketurunan Melayu-Jawa membuatkan pendatang baharu bernama Amin Daniell mendapat laluan mudah memasuki dunia glamor.

Memulakan kerjaya seni sebagai pelakon dalam muzik video (MV) beberapa artis tanah air sebelum ini memesrakan lagi Aiman untuk dikenali para karyawan.

“Alhamdulillah rezeki saya untuk menjadi sebahagian anak seni dipermudahkan.

“Jujur kalau ikutkan hati kerjaya sebagai pelakon ataupun model bukan menjadi keutamaan. Tapi kalau sudah dikatakan sudah rezeki, siapa kita untuk menolak,” ujarnya pemilik nama lengkap Muhammad Amin Danial Jamal itu.

Amin yang juga anak sulung kepada ahli politik sensasi, Datuk Seri Jamal Md. Yunos langsung tidak pernah menumpang populariti bapanya sebagai orang berpengaruh untuk memasuki dunia glamor.

Baginya, bakat lakonan yang dikurniakan menjadi tunggak utama untuk menonjolkan diri dalam bidang yang diminati kini.

“Semasa awal-awal memasuki dunia hiburan tiga tahun lalu, tak dinafikan ramai yang kata saya menumpang populariti bapa yang cukup terkenal dengan kontroversi politiknya.

“Ada juga yang kata bapa menjadi tiket untuk saya mengecap laluan mudah tidak seperti anak seni lain yang terpaksa bersusah payah sebelum bergelar artis,” katanya.

LAKONAN Amin menerusi MV nyanyian Adzrin berjudul Bukan Yang Terbaik dan Zynakal berjudul Terok menjadi titik tolak penglibatannya dalam bidang seni.

Perniagaan

Selain lakonan, pucuk muda berusia 21 tahun itu juga aktif menguruskan dan mengendalika perniagaan keluarga. Segala kesibukan yang dilalui secara tidak langsung membuatkan dirinya tidak pernah kemaruk dengan populariti, sebaliknya didasari minat.

Mempunyai pengikut melebihi 116,000 dalam Instagram, Amin yang juga pempengaruh media sosial (influencer) turut berkongsi beberapa projek seni terbaharu nanti.

“Insya-Allah saya juga ada dapat tawaran untuk menjayakan beberapa projek seni terbaharu termasuk lakonan dan penggambaran MV selepas ini.

“Kalau ikutkan ada sahaja tawaran itu datang untuk berlakon drama dan sebagainya, tetapi ada beberapa yang terpaksa saya tolak disebabkan sibuk menguruskan perniagaan keluarga,” tuturnya yang turut pernah dipelawa sutradara terkenal David Teo sebagai pelakon.

Ditebak mengenai perancangan masa hadapannya, Amin yang juga rakan baik kepada penyanyi Ismail Izzani berhasrat untuk menyambung pengajian di luar negara.

Bagi Amin, pendidikan merupakan satu kepentingan lebih-lebih lagi memandangkan usianya yang masih muda.

“Insya-Allah jika pandemik sudah berakhir, saya nak sambung pengajian di luar negara dalam bidang sains politik.

“Jika ditanya mengapa saya memilih bidang tersebut, ringkas dan mudah jawapannya. Selain bisnes dan seni, jiwa saya juga ke arah politik. Mana tahu satu hari nanti saya ikut jejak langkah bapa pula,” selorohnya bersahaja.

Menutup perbualan, Amin kini turut mengurus dan menjalankan perniagaan sebuah butik tudung eksklusif bawah label AD Scravess yang terletak di Ampang, Selangor.

AMIN tidak pernah meletakkan populariti sebagai keutamaan buat dirinya bergelar anak seni. – FARIZ RUSADIO
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI