fbpx
SETIAP tahun Eila (kanan) dan suaminya akan memastikan kucing-kucing peliharaan mereka turut dipakaikan pakaian raya yang sedondon.

K2

Beraya sedondon dengan kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPAKAIAN baharu bagi meraikan Aidilfitri adalah satu kemestian umat Islam dalam memeriahkan lagi sambutan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Tidak kira tua atau muda, semuanya akan bergaya sakan dengan baju raya baharu bahkan ada yang tampil serba seragam bersama keluarga atau pasangan dengan tema warna pilihan.

Bagi pencinta kucing, si comel itu juga tidak ketinggalan untuk digayakan bagi ‘menyambut’ lebaran bersama tuannya. Haiwan peliharaan itu akan dipakaikan dengan busana raya lengkap berbaju Melayu dengan samping dan songkok atau baju kurung serta dres.

Ini menjadikan pakaian raya kucing sebagai salah satu item yang perlu disenaraikan dalam keperluan raya tahunan khususnya buat pencinta kucing.

Bagi pencinta kucing, Eila Nordin, 42, membeli baju raya kucing sudah menjadi rutin baginya untuk menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah.

AKSI comel salah seekor kucing milik Eila yang dipakaikan baju Melayu teluk belanga berwarna biru dengan samping.

 

Menurutnya, memakaikan kucing kesayangannya baju raya adalah tanda kasih sayangnya terhadap haiwan peliharaan yang telah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga sendiri.

“Saya memiliki empat ekor kucing peliharaan dan semuanya akan digayakan dengan baju raya sedondon dengan saya dan suami untuk hari raya.

Semua kucing itu saya anggap seperti anak sendiri dan membelikan baju raya untuk kucing-kucing ini umpama mempersiapkan anak-anak bagi sambutan Aidilfitri.

“Menggayakan ‘mereka’ merupakan satu kepuasan buat saya. Tambahan pula, kucing apabila dipakaikan baju nampak lebih comel walaupun hanya bertahan dipakai tidak lebih satu hingga dua jam. Adat haiwan memakai baju, apabila mula rasa tidak selesa, maka mulalah pakaian itu ditanggalkannya sendiri,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Tambahnya yang kini menentap di Kucing, Sarawak, ada antara kucingnya juga yang perlu mendapatkan persalinan baharu kerana saiz badan yang bertambah.

Selain baju raya, kucingnya juga memiliki koleksi pakaian lain seperti jaket, blaus, dres, kemeja T, topi, seluar dan sebagainya.

Seorang lagi pecinta kucing, Nur Raihan Afiqah Tom Wira, 27, pula memberitahu, untuk hari raya ini dia tidak ketinggalan menyiapkan pakaian raya untuk kucingnya yang tersayang. Dia memiliki tiga ekor kucing, dua di kampung halaman di Ipoh, Perak dan seekor bersamanya di Kuala Lumpur.

 

 

RAIHAN tidak lupa untuk menyediakan pakaian raya untuk kucing-kucingnya walaupun memakaikan haiwan itu pakaian cuma buat seketika.

Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia sentiasa mengambil tahu keluaran terkini pakaian-pakaian kucing terutama koleksi-koleksi khas raya untuk dibeli buat kucingnya. Baginya dia gemar mendandan kucingnya walaupun hanya memakaikannya untuk seketika.

“Saya akan sentiasa melihat trend terkini pakaian-pakaian kucing. Seperti baju manusia, pakaian kucing juga mempunyai beberapa koleksi dan ada keluaran terbaharu dengan gaya-gaya terkini.

Jika ada yang menarik, saya pasti akan terus membelinya untuk ‘si bulus’ tersayang.

“Kucing saya sudah seperti ahli keluarga. Memandangkan saya tinggal jauh daripada keluarga, kucinglah yang menjadi peneman ketika di rumah selain rakan-rakan.

“Tambahan pula, dalam keadaan pandemik Covid-19 dan Hari Raya Aidilfitri dalam Perintah Kawalan Pergerakan, raya saya hanya bersama kucing dan sebab itu ia juga perlu digayakan sedondon dengan saya,” kongsinya yang juga merupakan usahawan online kelengkapan bilik tidur.

 

 

SEEKOR kucing betina milik Raihan ayu bergaya dengan persalinan baju kurung.

Tambahnya lagi, membeli pakaian kucing dilihat bukanlah satu pembaziran seperti didakwa sesetengah pihak.

Jelasnya, dia sendiri tidaklah berbelanja besar untuk persiapan raya kucingnya. Kebanyakan pakaian kucing dijual pada harga tidak lebih RM100 untuk satu set pakaian penuh.

Sementara itu, salah seorang penjual pakaian kucing, Nuryusrina Mat Yusof, 26, yang merupakan pengasas perniagaan pakaian kucing @bella_felidae memberitahu, meskipun terdapat pelbagai jenis fesyen dan gaya, pakaian kucing tidaklah mahal melainkan rekaan khas dengan perincian tersendiri.

Gadis dari Rawang, Selangor yang memulakan perniagaan sejak tahun 2016 itu menjelaskan bahawa ramai pelanggannya tidak kisah untuk membeli pakaian buat haiwan peliharaan mereka tidak kira untuk Aidilfitri atau hari-hari biasa.

 

RAIHAN hanya beraya bersama kucingnya pada musim pandemik ini.

“Pakaian kucing dan haiwan peliharaan mempunyai pasaran tersendiri dan permintaannya tinggi terutama dalam kalangan pencinta haiwan. Permintaan yang tinggi tentunya semasa musim-musim perayaan seperti Aidilfitri.

“Pakaian kucing juga ada koleksi tersendiri dengan pelbagai pilihan aneka warna. Trend dan warna juga penting dalam penjualan pakaian kucing kerana ia menjadi tarikan buat pembeli yang ingin menggayakan si comel mereka,” katanya yang turut memiliki sembilan ekor kucing.

Tambahnya, jika tiba musim perayaan dan permintaan yang cukup tinggi, Nuryusrina mampu mencapai hasil jualan sehingga RM10,000.

Meskipun tahun ini negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19, jualan baju raya kucing masih mendapat permintaan, malah dia telah menjual kira-kira 200 pasang pakaian kucing setakat ini bagi tahun ini.

 

NURYUSRINA menunjukkan aneka pakaian raya kucing yang dijualnya.

Selain di Malaysia, perniagaan pakaian kucing Nuryusrina turut mendapat perhatian pelanggan dari negara jiran seperti Singapura dan Brunei. Dia juga mempunyai ramai pelanggan tetap yang tidak pernah ketinggalan memiliki setiap koleksi terkini yang dijual olehnya.

Selain menjual pakaian kucing, Nuryusrina turut memberitahu, dia sentiasa terlibat dalam usaha untuk membantu kucing-kucing teraniaya atau yang memerlukan dengan cara mendapatkan bantuan atau berkongsi permasalahan itu dengan memuat naiknya di laman sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN