fbpx

Tidak sempat seludup 5.4 tan minyak masak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Pasukan Polis Marin sedang memeriksa minyak masak bersubsidi yang dibawa dua buah lori sebelum ia diseludup ke negara jiran.

TANAH MERAH – Dua buah lori ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan 5.4 tan minyak masak paket satu kilogram (kg) yang juga merupakan barangan kawalan subsidi ke negara jiran di Kampung Ayer Batu, Panglima Bayu di sini semalam.

Kedua-dua buah lori itu ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor pada pukul 6 petang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, sebelum menahan lori itu, pasukan operasi telah mengekori sebuah lori bermula pukul 4 petang dari Gua Musang menuju ke sekitar kawasan sempadan negara.

Katanya, selepas hampir dua jam, pasukan operasi telah menahan dua buah lori seberat tiga tan bersama pemandunya di lokasi tersebut.

“Pemeriksaan di dalam lori pertama telah menemui 2,890 kg minyak masak paket bersubsidi manakala lori kedua pula sebanyak 2,550 kg barangan yang sama.

“Keseluruhan minyak masak paket satu kg bersubsidi yang disita dianggarkan sebanyak 5,440 kilogram bernilai RM13,600. Selain itu, dua buah lori yang bernilai RM 100,000 turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azanizam Affendi, rampasan itu berjaya dilakukan menerusi hasil risikan selama dua minggu di satu pangkalan haram sempadan negara yang dipercayai menjadi transit sementara barangan kawalan sebelum diseludup ke negara jiran.

Katanya, siasatan awal terhadap salah seorang pemandu lori yang berusia 50-an mendapati dia mengaku menerima upah sebanyak RM1.50 untuk setiap kotak minyak masak bersubsidi dengan anggaran RM255 bagi setiap perjalanan.

“Bagi aktiviti penyeludupan minyak masak, penyeludup akan membayar upah kepada pemandu lori untuk mengambil barang kawalan dari pemborong dan pembekal sebelum ia dibawa ke lokasi transit untuk diseludup,” katanya.

Tambah Azanizam Affendi, kedua-dua pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI