fbpx
GAMBAR HIASAN

Pertahan kesucian tanah Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Ramadan, ada sahaja kekejaman dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Terbaharu, rentetan keangkuhan pengganas Zionis menjarah rumah dan tanah rakyat Palestin di Sheikh Jarrah yang terletak di Timur Baitulmuqaddis mencetuskan kebangkitan penduduk.

Memetik laporan media, ribuan jemaah bersolidariti, berhimpun di Masjid Al-Aqsa selepas solat tarawih bagi membantah penjajahan dilakukan Zionis Israel.

Kalau tidak kejam dan zalim bukanlah namanya Zionis. Pihak berkuasa Israel bertindak menyerang penduduk di masjid berkenaan.

Tindakan bacul Zionis itu dilakukan ketika jemaah sedang bersolat dan beribadat di Masjid Al-Aqsa pada penghujung Ramadan.

Belum habis bersolat jemaah dilempar bom tangan dan bom asap. Mereka ditembak dengan peluru getah sehingga ratusan penduduk dilaporkan cedera.

Sejarah Palestin dan Masjid Al-Aqsa serta siri keganasan Zionis Israel sudah berlarutan sejak lebih 70 tahun lalu.

Terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang seakan-akan menerangkan keadaan ini.

Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “Sesungguhnya akan tiba satu masa, seseorang itu memiliki tanah seukuran tali kuda sehingga dia mampu melihat Bait al-Maqdis. Hal itu adalah lebih baik baginya daripada dunia keseluruhannya atau lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat al-Hakim)

Inilah luar biasanya tanah Palestin. Tidak pelik sekiranya penduduk Palestin sanggup mempertahankan kesucian tanah air mereka dengan air mata dan darah.

Dunia kini sudah semakin celik dengan dasar aparteid Israel. Sokongan demi sokongan terhadap penduduk Palestin disuarakan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.

Malaysia tetap teguh bersolidariti dengan Palestin. ‘Tentera-tentera bawang’ kita masih belum berehat sejak hari pertama melancarkan ‘perang saraf’ terhadap Israel.

Troll, kecam, godam serta banjirkan laman sosial dengan fakta kekejaman Israel bagi membangkitkan kesedaran dunia bahawa isu Palestin ini adalah merupakan isu kemanusiaan.

Rejim Zionis sudah ‘koyak’. Jika tidak, masakan Malaysia sudah mula masuk ke dalam radar tindak balas mereka.

Biasalah, kalau tidak kejam dan zalim bukanlah namanya Zionis. Pengganas Israel mula tunjukkan keangkuhannya dengan menyasarkan Iran, Turki, Qatar dan beberapa negara lain termasuk Malaysia berikutan tekanan yang diterimanya.

Alasannya adalah mahu memerangi pejuang Hamas di semua peringkat, baik di Gaza atau di lokasi-lokasi di negara lain.

Malaysia dari dahulu lagi tetap tegas dengan pendirian menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin. Angkat keyboard, kita dendangkan kekejaman Zionis Israel. -K! ONLINE