fbpx

Longgokan barangan terpakai ‘cacatkan’ pemandangan Taman Bukit Indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Perbuatan segelintir individu membuang dan melonggokkan barangan terpakai berdekatan tong kitar semula bukan sahaja mengundang kemarahan penduduk sekitar, malah turut mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.

Menerusi perkongsian klip video di laman Instagram milik seorang netizen dikenali sebagai Akbarsaharie, longgokan barangan terpakai itu berlaku di dua buah tong kitar semula di Taman Bukit Indah, Ampang.

Melalui video yang dikongsi Akbarsaharie, jelas kelihatan beberapa barangan antaranya pakaian, tilam, kelengkapan rumah dan kasut dibiarkan berlonggokan di luar tong berkenaan.

Katanya, perbuatan itu jelas mencatatkan pemandangan kawasan sekitar yang berhampiran dengan perumahan penduduk.

“Tong kitar semula yang disediakan itu adalah untuk ‘community for charity’ iaitu untuk orang menderma barangan terpakai.

“Tetapi ada segelintir individu buang barangan yang tidak sesuai untuk kitar semula termasuk tilam, piala dan tong polistrene,” katanya menerusi klip video berkenaan.

Apa yang dikesali tambah Akbarsaharie adalah mereka bukan meletakkan barangan terpakai di dalam tong disediakan tetapi melonggokannya di luar tong berkenaan.

“Sudah disediakan tong itu masukkan semua barang dalam tong, bukan dibiarkan di luar tong. Sakit mata memandang, hidup biar bertamadun jangan perangai seperti binatang,” katanya.

Klip video berdurasi dua minit limaa saat itu turut mendapat reaksi daripada netizen yang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab individu yang melonggokan barangan terpakai di luar tong berkenaan.

Seorang netizen dikenali sebagai Cazrun berkata, kejadian tersebut sudah lama berlaku.

“Acah-acah duduk di kawasan berstatus tinggi, harga rumah mahal-mahal, tetapi perangai macam tiada harga diri,” tulisnya.

Bagaimanapun, menurut seorang lagi netizen dikenali sebagai Asyraaffamran, longgokan barangan di luar tong itu berlaku kerana ada aktiviti menyelongkar barang dilakukan oleh beberapa individu pada waktu malam.

“Ini ada orang selongkar, biasanya pada waktu malam. Mereka ambil baju yang diletakkan di dalam tong, tetapi tak kemas balik,” jelasnya. – K! ONLINE

POPULAR