fbpx

LHDN saman Muhammad Shafee tuntut cukai pendapatan RM9.41 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad shafee

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menuntut pembayaran tunggakan cukai pendapatan bernilai RM9.41 juta.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN itu pada 6 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan.

Muhammad Shafee merupakan peguam kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Muhammad Shafee mempunyai tunggakan taksiran bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (tambahan) tersebut telah dihantar secara pos berdaftar pada 31 Mei 2019 ke alamat yang diketahui plaintif pada masa itu namun notis-notis itu kemudian tidak pernah dikembalikan kepada plaintif tanpa serah.

Menurut plaintif, oleh kerana defendan gagal untuk membayar jumlah cukai sebanyak RM434,326.37, RM978,854.11, RM3,581,500.00 dan RM1,735,124.03 dan RM1,826,557.87 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penyampaian
Notis-notis Taksiran itu kepadanya (defendan), seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 yang masih belum dibayar.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM9,414,708.32, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan yang mewakili Muhammad Shafee ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima writ saman itu daripada LHDN dan hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui pihak media.

Dalam pada itu, sumber LHDN ketika dihubungi mengesahkan belum menyerahkan saman itu kepada Muhammad Shafee dan dijangka akan menyerahkan saman itu dalam masa terdekat. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI