fbpx
PEMBEDAHAN mengeluarkan peluru perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko kepada mangsa. – Gambar Hiasan

Boleh lumpuh jika keluarkan peluru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peluru atau serpihan senjata yang berada dalam tubuh mangsa tembakan tidak akan dikeluarkan jika berpotensi menyebabkan kematian.

Pakar Perunding Bedah Ortopedik KPJ Tawakkal KL, Dr. Abdul Hadi Husin berkata, pembedahan mengeluarkan peluru juga tidak akan dilakukan sekiranya memberi risiko lumpuh kepada individu yang terlibat.

“Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan peluru atau serpihannya tidak dapat dikeluarkan. Pertama ialah sekiranya peluru itu berada terlalu hampir dengan saraf kerana pesakit boleh lumpuh jika pembedahan dilakukan.

“Keduanya, pembedahan ti­dak akan dilakukan jika peluru berada terlalu hampir de­ngan salur darah besar kerana dikhuatiri menyebabkan ia bocor, sekali gus menjadi punca kematian,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! baru-baru ini.

Abdul Hadi berkata, ada juga keadaan di mana peluru itu tidak akan dikeluarkan kerana proses pembedahan biasanya melibatkan pelbagai organ penting dalam badan.

Sebagai contoh katanya, pembedahan mengeluarkan peluru atau serpihannya terpaksa dilakukan dengan melalui organ penting seperti jantung.

“Ia akan menyebabkan kemudaratan berbanding jika dibiarkan di situ, jadi kita tidak akan keluarkan peluru tersebut,”
jelasnya.

Selain itu, katanya, keberadaan peluru dalam badan manusia sebenarnya tidak memberi kesan ketara kecuali jika mereka perlu menjalani prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Sekiranya ujian MRI menggunakan magnet yang sangat kuat, keadaan itu boleh menyebabkan peluru beralih kedudukan.

“Jadi, perlu dipastikan dahulu risikonya kerana ia memberi risiko kepada pesakit.

“Selain itu, disebabkan peluru kebiasaannya diperbuat daripada plumbum, maka ada potensi kecil pesakit menghadapi masalah ketoksikan plumbum tetapi risiko itu sangat minimum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN