fbpx
Gambar hiasan

Tiada istilah ‘jaga kain orang’ isu dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

Hendak tetak binatang pun tak sanggup apatah lagi manusia,” kata seorang lelaki yang hadir pada majlis pengebumian Meriani Ismail, 55, yang maut dibunuh kejam oleh anak kan­dungnya sendiri ketika sedang tidur di rumahnya minggu lalu.

Jasad wanita kepada sembilan anak itu amat menyayat hati ketika ditemukan ahli keluarganya, dengan kesan tetakan pada bahagian dahi, mulut, kepala, perut dan tangan.

Lebih menyedihkan, di saat akhir hayatnya itu, ibu ber­kenaan terpaksa merayu kepada anak yang dikandungnya selama sembilan bulan untuk tidak di­apa-apakan.

Namun, saat itu, tiada rasa simpati ditunjukkan si anak, sebaliknya dia terus menetak ibunya sampai mati.

Ironinya, kejadian itu berlaku ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dan hanya beberapa minggu sebelum tibanya Syawal.

Akibat pengaruh dadah, anak yang sepatutnya menjaga ibu diakhir hayatnya telah bertukar menjadi ‘iblis’ yang tidak mengenal erti belas kasihan.

Najis dadah, bukanlah masalah baharu tetapi sudah berlarutan sekian lama.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk penubuhan agensi khas selain usaha pelbagai agensi, bahana dadah sema­kin hari semakin serius bagaikan kanser yang kian merebak.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam ketika berkata, pihaknya tidak pernah berhenti melaksanakan pelbagai usaha memulihkan penagihan dadah tetapi masih terdapat penagih berulang dan baharu.

Katanya, statistik penagihan dadah di negeri ini mendapati, golongan berusia 20 hingga 40 tahun yang merupakan generasi muda dan pelapis merekodkan jumlah tertinggi.

“Perancangan lima tahun kita adalah untuk pencegahan dadah dengan sasaran program menghijaukan kawasan berisiko tinggi.

“Pada 2021, kita menyasarkan 30 peratus di seluruh negara dihijaukan termasuk di Pahang,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, kejadian pembunuhan tragis di Kampung Pesagi, Maran itu amat mengejutkan, sekali gus membuktikan bahawa masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan lebih serius.

Katanya, dalam mengatasi masalah ini, nama individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah seharusnya tidak dirahsiakan lagi oleh mana-mana pihak bagi mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat.

“Saya ingat umat Islam ke­seluruhannya kena ambil tahu, peka dengan orang yang terlibat dengan dadah ini, sekiranya ada jiran (terlibat dadah), kena bagitahu, kena ambil peduli.  Kalau keluarga sendiri dia boleh bunuh, jiran-jiran apatah lagi.

“Maka saya rasa sudah sampai peringkat kita kena ambil peduli dan kita jangan pandang ringan. Kena beritahu, tidak perlu rahsia lagi supaya kita boleh bantu tiada istilah ‘jaga kain orang’ dalam isu ini,” ujarnya.

Pelbagai usaha dilakukan dari dahulu hingga kini, namun penyalahgunaan dadah bagaikan tiada kesudahan.

Ia semakin membarah bukan sahaja merosakan individu malahan institusi keluarga.

Jangan sampai akhirnya dadah menjadi faktor yang memusnahkan institusi masyarakat dan negara. Carilah penyelesaian yang tuntas, carilah puncanya, dengarlah pandangan pelbagai pihak termasuk ahli agama, dan masyarakat.

BERITA BERKAITAN