fbpx

PKRC Gelanggang Seni dilengkapi kemudahan katil klinikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gelanggang Seni, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Gelanggang Seni di sini yang dilengkapi katil klinikal dan kelengkapan rawatan khas dijangka akan dibuka pada Isnin ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Azman Yusof berkata, pusat kuarantin itu boleh menempatkan seramai 30 pesakit warga emas di atas katil klinikal yang dilengkapi mesin pemantauan jantung, bekalan oksigen mudah alih dan alat sokongan lain.

Katanya, selain itu, sebanyak 50 katil dua tingkat untuk pesakit wanita turut disediakan di dalam PKRC itu yang mampu menampung seramai 100 orang dalam satu-satu masa.

“PKRC ini merupakan satu pusat kuarantin khas di Kelantan kerana kerana perkhidmatan yang disediakan adalah memberi bantuan awal kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

“Ini kerana, sebelum ini pernah ada kes pihak jabatan kesihatan tidak dapat memberikan bantuan awal kerana hospital penuh. Disebabkan itu, pesakit Covid-19 warga emas ditempatkan di sini agar mudah untuk diberikan bantuan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan PKRC di Gelanggang Seni di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohd. Azman, lokasi PKRC itu yang dekat dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini iaitu 1.5 kilometer memudahkan pihak jabatan kesihatan sekiranya pesakit memerlukan rawatan lanjut.

Katanya, PKRC Gelanggang Seni juga berupaya menjimatkan masa terutamanya dalam aspek pengurusan dan proses bantuan awal ke HRPZ II.

“Kita harapkan pembukaan PKRC ini dapat membantu dalam memberi rawatan segera kepada pesakit warga emas yang berisiko mendapat komplikasi awal Covid-19.

“Selain itu juga, kita mengharapkan kerajaan negeri dapat membantu mempercepatkan perolehan katil klinikal kerana ia melibatkan kos kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 untuk satu unit,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI