fbpx

Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat sehingga Ramadan berakhir meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa esok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara perbezaan PKP yang akan dilaksanakan kali ini berbanding PKP pertama ialah kerajaan akan mengizinkan kegiatan ekonomi diteruskan mengikut garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya ingin menyentuh secara khusus supaya jangan timbul kekeliruan kerana pagi tadi ada persatuan penduduk membuat rayuan dan bertanya mengapa kerajaan buat PKP saat orang sedang berniaga dan sebagainya.

“Jadi kita ingin jelaskan sekali lagi kegiatan ekonomi pada PKP kali ini boleh diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar secara langsung yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau yang turut merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, operasi bazar Ramadan dibenarkan bermula pukul 3 petang hingga 8 malam dengan tempoh itu tidak termasuk persediaan peniaga sebelum dan selepas memulakan perniagaan.

“Misalnya persediaan memasang khemah tidak dikira dan ia boleh dibuat lebih awal mungkin sejam sebelum dibuka kepada pengunjung pada pukul 3 petang dengan pelanggan terakhir yang boleh diterima ialah pada pukul 8 malam.

“Selepas itu mungkin mereka memerlukan satu jam untuk kerja-kerja pembersihan dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, operasi bazar Aidilfitri ditetapkan selama 12 jam iaitu dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Beliau menegaskan, jika data daripada sistem amaran awal, Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dan aplikasi MySejahtera menunjukkan terlalu banyak kes positif atau kontak rapat di lokasi terlibat pihak berkuasa akan mengarahkan penutupan bazar.

Beliau berkata, pihaknya telah mengkaji rayuan peniaga yang memohon pelanjutan tempoh operasi sehingga pukul 2 pagi namun mendapati berlaku kesesakan pengunjung terutamanya selepas waktu tarawih dan ia akan membuatkan pelaksanaan PKP menjadi tidak berkesan.

“Baru-baru ini tersebar video tular misalnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sebagainya jadi jangan kita pandang kecil perkara itu kerana sepatutnya pengunjung tidak hadir ke bazar seperti menghadiri pesta serta seboleh-bolehnya mengelak situasi sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyerahkan senarai pasar raya dan pusat beli-belah di Kuala Lumpur terutamanya di Bukit Bintang yang berpotensi menjadi titik panas Covid-19, memandangkan lokasi sedemikian dikunjungi kira-kira 700 kontak rapat.

Beliau bercadang membincangkan perkara tersebut dalam pertemuan dengan pusat pengurusan krisis Wilayah Persekutuan dan MKN esok dengan tindakan lanjut mungkin diambil terhadap premis terjejas.

Beliau berkata, angka itu diperoleh daripada data MySejahtera dan menyifatkan keadaan itu berbahaya kerana dikhuatiri mendedahkan pengunjung kepada risiko jangkitan koronavirus.

“Jika data membuktikan tempat tersebut dikunjungi kontak rapat atau pesakit Covid-19 kita tetap akan tutup juga (premis).

“Kebenaran ini sudah diberi kepada pihak berkuasa tempatan dengan sebarang tindakan akan dibuat berdasarkan data diberikan KKM,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI