KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes permohonan pembiayaan peribadi menggunakan dokumen palsu di sekitar Lembah Klang pada Sabtu lalu.
Tangkapan telah dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua lapan yang ditahan membabitkan enam pegawai institusi kewangan dan dua ejen sindiket.
“Sindiket ini menyasarkan individu yang tidak layak membuat pinjaman atau telah disenarai hitam serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Sindiket ini akan menyediakan dokumen-dokumen sokongan seperti surat lantikan kerja dan penyata kewangan yang palsu bagi melayakkan peminjam mendapatkan pembiayaan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jelasnya, kakitangan institusi kewangan yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut akan meluluskan pembiayaan tanpa membuat pemeriksaan dan pengesahan teliti terhadap dokumen sokongan yang diberikan.
“Selepas pembiayaan diluluskan, peminjam hanya menerima 30 peratus daripada jumlah pembiayaan sementara baki pembiayaan akan disimpan sindiket ini dengan alasan untuk membayar ansuran bulanan selama 20 bulan serta komisen ke atas kerja mereka.
“Polis juga sedang mengesan 22 lelaki dan 12 wanita membabitkan peminjam pembiayaan peribadi berusia antara 24 hingga 45 tahun. Polis turut menyeru kesemua individu terbabit untuk tampil membantu siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu. -K! ONLINE














