BANGKOK – Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital (DES) Thailand memaklumkan sedang memantau rapi sebuah kumpulan Facebook baharu dinamakan Let’s Move Abroad (Jom Pindah Negara) yang diwujudkan berikutan kekecewaan rakyat atas kegagalan kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 di negara itu, lapor akhbar Bangkok Post hari ini.
Hanya dalam masa empat hari, kumpulan yang dibentuk pada 1 Mei lalu itu telah mengumpulkan lebih 650,000 ahli yang berkongsi tip belajar dan bekerja di luar negara.
Bagaimanapun, kandungan politik dan catatan mengenai isu-isu sensitif yang melanggar undang-undang lese majeste juga dimuat naik di laman berkenaan.
Menteri DES, Chaiwut Thanakhamanusorn berkata, panel kerja kementerian sedang mengawasi laman baharu itu dan telah diarah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kandungan haram apabila perlu.
Katanya, sebahagian besar kandungan pada amnya memberikan maklumat berguna tentang cara-cara untuk belajar dan tinggal di luar negara yang merupakan perkara baik dan perlu digalakkan.
Beberapa agensi negeri termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi (MHESI) bersedia untuk menyokong mana-mana warga Thailand yang ingin melanjutkan pelajaran atau kerjaya di luar negara.
Namun, beliau mengakui bahawa beberapa status dalam memberikan tip secara tidak langsung dianggap mempunyai agenda politik dengan niat yang dikhuatiri boleh menimbulkan perpecahan dan menyinggung institusi kerajaan.
“Saya telah mengarahkan panel kerja untuk mengkaji semula kandungan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan undang-undang jika perlu,” katanya.
Chaiwut mendesak kumpulan Facebook itu untuk tidak berkongsi maklumat atau nasihat yang berisiko menjejaskan hubungan baik antara Thailand dan negara lain seperti cara menghindari pemeriksaan imigresen.
Beliau juga memperingatkan pengguna forum itu supaya berhati-hati terhadap penipu yang mengendalikan skim penipuan ke atas individu yang mencari pekerjaan di luar negara.
Menurutnya, Kementerian Tenaga Kerja menerima lebih 1,500 aduan demikian sepanjang 2018-2020.
Halaman Let’s Move Abroad itu menarik perhatian beberapa negara di mana anggotanya menunjukkan minat.
Kedutaan Sweden di Thailand menyiarkan mesej yang menyenaraikan sebab mengapa Sweden adalah destinasi yang berpotensi.
“Adakah anda berangan-angan untuk pindah ke luar negeri? Berikut adalah beberapa sebab mengapa Sweden harus dipertimbangkan.
“Antaranya adalah hak dan perlindungan buruh yang kuat, kesaksamaan antara jantina, penghargaan inovasi dan kesejahteraan sosial untuk semua.”
Kedutaan Australia di Thailand turut tidak ketinggalan mempromosi negara mereka. – Agensi














