KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menegaskan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat iaitu ‘lockdown’.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri hanya mengemukakan laporan justifikasi berkaitan perkembangan terkini situasi Covid-19 di negeri Kelantan.
“Laporan itu bertujuan membolehkan kerajaan pusat untuk menimbang langkah yang bersesuaian dengan keadaan yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini iaitu peningkatan kes setiap hari.
“Ia melibatkan laporan mengenai Varian Afrika Selatan B 1.351, kadar kebolehjangkitan (RT) yang masih melebihi 1.0 iaitu 1.21 ketika ini, 16 peratus kes tiada kaitan epidemiologi dalam komuniti, pengurusan sumber manusia dan logistik kesihatan yang semakin meruncing.
“Jika ‘lockdown’ dilaksanakan, banyak perkara yang perlu diambil kira terutamanya dari aspek ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan mangsa Covid-19 berjumlah RM1 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab. Aziz Yunus untuk Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) di pejabatnya, hari ini.
Terdahulu, media tempatan semalam melaporkan Kelantan telah mengemukan permohonan sebanyak dua kali untuk melaksanakan ‘lockdown’, namun telah ditolak kerajaan pusat.
Langkah itu dikemukakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri itu yang dilihat membimbangkan.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri dan pasukan keselamatan perlu diambil kira dengan sebaik mungkin jika mahu melaksanakan keputusan itu.
“Setakat ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah meminta supaya negeri bergerak seiring dengan pusat agar sebarang keputusan dijalankan dengan selari,” ujarnya.-K! ONLINE














