LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan aksi Liga Premier antara Perak FC II dan Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat ini terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan mengesahkan, pindaan jadual terpaksa dibuat selepas dua pemain Kelantan positif Covid-19 dan kini menjalani kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya.
“Kedua-dua pemain Kelantan didapati posifif menerusi ujian calitan RTK Antigen dan PCR dilakukan sebelum aksi menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 3 Mei lalu.
“Dua pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan ketika menentang Selangor mengikut SOP Covid-19 yang telah ditetapkan.
“Walaupun pemain-pemain lain berstaus negatif Covid-19 tetapi aksi Kelantan antara Perak II terpaksa dipinda. MFL sedang meniliti punca kes positif Covid-19 untuk tindakan susulan,” menurut kenyataan MFL semalam.
Sementara itu, MFL turut mengumumkan empat perlawanan membabitkan dua aksi Liga Super dan dua Liga Premier akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dua aksi Liga Super antara UiTM FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 8 Mei ini dan perlawanan Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ keesokan harinya.
Dua aksi Liga Premier pula natara Projek FAM/MSN menentang Terengganu FC II di Stadium UiTM, Shah Alam esok (7 Mei) dan Selangor FC 2 bertemu PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Mei ini. – K! ONLINE














