fbpx

Remaja perempuan ada masalah psikiatrik cuba terjun bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Seorang remaja perempuan yang dipercayai mempunyai masalah psikiatrik cuba terjun dari tingkat atas Regina Mall Port Dickson di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 7.15 petang.

Aidi Sham berkata, sejurus menerima maklumat tersebut, pihak polis telah menyalurkan maklumat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Port Dickson untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang berusia 16 tahun telah berdiri di bucu tembok tingkat atas parkir terbuka Regina Mall dan telah beberapa kali bertindak agresif cuba terjun, namun berjaya dipujuk dan ditangkap oleh pasukan penyelamat bomba yang berada di tempat kejadian.

“Mangsa seterusnya dibawa oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, dalam cubaan terjun itu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa kini masih ditahan di wad di HPD kerana mangsa masih bertindak agresif dan petugas hospital terpaksa menggunakan ubat penenang untuk menenangkan keadaan mangsa.

“Sebelum ini, mangsa pernah mendapatkan rawatan mental atau psikiatrik di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebanyak dua kali pada tahun 2020, mangsa juga pernah mengalami masalah kemurungan dan sentiasa bersendirian di rumah,” katanya.

Tambah Aidi Sham, ibu mangsa memberitahu sebelum kejadian remaja itu telah meminta untuk dihantar ke sebuah pasar raya di Port Dickson untuk bertemu dengan rakan sekolah.

“Pada pukul 6.30 petang hari kejadian, ibu mangsa telah menghantar mangsa ke pasar raya tersebut dan meninggalkan mangsa di sana,” katanya. –  K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI