fbpx

Dari padang bola ke arena e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAUDSU mendapat idea untuk menjadi streamer susulan terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan mewujudkan laman DwoodsuxGaming di Facebook. – DwoodsuxGaming

KELIBATNYA di atas padang suatu ketika dahulu sering menjadi perhatian peminat bola sepak negara apabila pernah membantu pasukan Kelantan merangkul gelaran trebel pada 2012.

Nama Mohd. Daudsu Jamaluddin sering meniti di bibir peminat bola sepak tanah air selain boleh dianggap antara bek kanan terbaik ketika zaman kemuncaknya.

Ketika karier bola sepaknya semakin hampir ke penghujung, dia memberanikan diri untuk menceburkan diri dalam arena permainan video serta berjinak-jinak menjadi streamer di laman media sosial Facebook.

Terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada awal tahun lalu, idea untuk menjadi streamer tercetus pada fikiran Daudsu sehingga dia membuat keputusan mewujudkan laman DwoodsuxGaming di Facebook.

Dia yang sememangnya seorang penggemar permainan video mengakui, pada awalnya menceburi bidang penstriman sekadar mengisi masa lapang sebelum dinasihatkan beberapa rakan untuk melakukannya dengan lebih serius.

“Sebenarnya memang dari dulu lagi saya minat dengan permainan video, terutamanya pada telefon pintar. Pada awalnya saya buat secara santai sahaja tetapi sekarang Alhamdulillah boleh dijadikan sumber pendapatan.

“Semuanya bermula ketika Covid-19 melanda kira-kira April tahun lepas. Rakan-rakan beri­tahu daripada saya bermain ‘kosong’, ada baiknya jika saya mula stream kerana boleh buat duit,” katanya yang kini berusia 36 ­tahun.

DAUDSU (kanan) merupakan antara bek kanan terbaik ketika zaman kemuncaknya dan pernah beraksi bersama skuad kebangsaan menentang Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 21 Julai 2011.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga berkata, bergelar streamer bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia perlu memerah idea bagi menghasilkan bahan kandungan dalam usaha menarik penonton.

Selain itu, dia yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan bola sepak mengakui lebih selesa bermain permainan di platform telefon pintar seperti PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) serta Pro Evolution ­Soccer (PES) Mobile.

“Secara jujur, orang tengok jadi streamer macam senang, namun ia sangat sukar kerana sakit kepala nak fikir bahan kandu­ngan yang mahu disajikan kepada penonton.

“Selain itu, mental juga perlu kuat kerana perlu menghadap komputer berjam-jam dalam setiap sesi. Bagaimanapun, inilah antara yang perlu saya lakukan demi menampung perbelanjaan keluarga,” tambahnya.

LAZIMNYA Daudsu melakukan penstriman secara langsung hampir setiap hari bermula pukul 10 atau 11 malam dan berlangsung selama dua hingga empat jam.

Kata Daudsu, kebiasaannya dia akan melakukan penstriman secara langsung hampir setiap hari bermula pukul 10 atau 11 malam dan berlangsung selama dua hingga empat jam.

Dia juga turut membelanjakan hampir RM15,000 bagi membeli kelengkapan penstriman se­perti komputer, kamera, sistem pencahayaan serta mengubah suai bilik.

Pada masa sama, bekas pemain bola sepak kebangsaan itu juga pernah melakukan kolaboratif dengan streamer-streamer terkenal tanah air seperti Jaasuzuran menerusi permainan Grand Theft Auto (GTA).

Selain itu, Daudsu juga menyertai kejohanan-kejohanan e-Sukan yang dianjurkan, namun mengakui ia bukanlah kejohanan tahap satu atau dua yang sangat mencabar.

“Ya, saya pernah menyertai kejohanan-kejohanan biasa bersama rakan-rakan dan mara sehingga ke separuh akhir. Bagaimanapun, ia bukanlah kejohanan besar seperti yang disertai pemain profesional.

“Buat masa sekarang, saya fokus kepada PES Mobile kerana ia menarik lebih ramai penonton, tambahan pula orang kenal saya menerusi sukan bola sepak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI