fbpx
Ramai tidak endah kompaun tinggi yang dikenakan kerajaan jika ingkar SOP. - Gambar hiasan

Celaru personaliti punca langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP petang pasti penulis akan menunggu sidang media daripada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ataupun hanya sekadar kenyataan media berkaitan perkembangan Covid-19 di seluruh negara.

Tumpuan utama adalah tentang jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Daripada pengamatan penulis, hampir setiap hari individu yang ditahan ingkar SOP ini melebihi tiga angka dan jumlahnya jarang berubah kepada dua ang­ka, ­ma­lah tidak pernah menjadi satu ­angka.

Meskipun sebelum ini kerajaan menaikkan denda mereka yang melanggar SOP ini kepada maksimum RM10,000, namun ia langsung tidak mendatangkan ‘gerun’ kepada rakyat Malaysia.

Apa yang boleh disimpulkan, masih ramai rakyat di negara ini ‘degil’ dan mungkin ‘kocek penuh’ kerana mereka bersedia untuk ‘menyedekahkan’ sebahagian wang semata-mata untuk membayar kompaun.

Jadi tidak hairanlah mengapa hampir setiap hari terdapat ramai individu yang ditahan kerana langgar SOP PKP dan mereka se­olah-olah tidak takut dengan nilai kompaun tinggi yang dikenakan ketika ini.

Selain sikap degil, melalui pengamatan penulis juga, ramai rakyat negara ini mula leka dan tidak menghiraukan kesan akibat pandemik Covid-19.

Mereka mula lupa tentang penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan pembasmi kuman ketika mengunjungi tempat awam dan tumpuan ramai seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, kedai makan, restoran dan pusat beli-belah.

Kebanyakan kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai ketika ini sama ada untuk bersantai mahupun mencari persediaan untuk Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Mereka sanggup bersesak-sesak selain penjarakan fizikal diabaikan dan yang hanya mampu bertahan adalah pemakaian pelitup muka sama ada di tempat betul ataupun sekadar ‘singgah’ pada dagu.

Keadaan ini seolah-olah menggambarkan Malaysia kini sudah bebas sepenuhnya daripada penularan Covid-19.

Sekiranya sikap ini menjadi ‘amalan’ dalam diri rakyat Malaysia, sampai bila-bila pun kita tidak ‘berjaya’ melawan Covid-19 dan dalam tempoh itu juga, kita tidak dapat merasa suasana dan kemeriahan Aidilfitri di kampung.

Memetik laporan Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leftenan Komander Dr. Abu Yazid Abu Bakar (B) berkata, individu yang sukar mengikut peraturan serta arahan adalah tergolong dalam kecelaruan personaliti.

Menurutnya, ia melibatkan sama ada personaliti narsisistik iaitu sering berasa diri mereka sahaja betul, manakala satu lagi adalah personaliti antisosial yang mana mereka sukar untuk akur kepada sesuatu ketetapan regulasi sosial.

“Mereka mungkin memiliki salah satu ciri personaliti itu atau gabungan kedua-duanya.

“Selain itu, dari sudut psikologi, manusia memang sukar hendak ubah kelaziman kerana sesuatu yang sudah jadi tabiat mengambil masa lama untuk diubah,” ujarnya.

Justeru, ayuh sama-sama mengubah tabiat buruk dan tidak berfaedah ini supaya selepas ini kita berjaya melawan penularan pandemik Covid-19 dan sekali gus semua aktiviti kita akan dapat kembali normal.